Khamis, 16 November 2017

Ibrahim Ali gesa Bukit Aman bersihkan nama Perkasa

Ibrahim mempertikaikan tujuan peguam keluarga Raymond Koh membuat rujukan terhadap Perkasa dalam kes kehilangan pastor itu.
ibrahim-ali

KUALA LUMPUR: Perkasa hari ini mendesak polis membersihkan nama pertubuhan itu selepas rujukan dibuat terhadap mereka dalam siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke atas kehilangan Pastor Raymond Koh.

Presiden Datuk Ibrahim Ali berkata polis perlu menyiasat keterangan saksi ke-7 pendengaran terbuka itu, ASP Supari Muhammad, yang bersetuju dengan peguam keluarga Koh bahawa gerakan hak Bumiputera itu relevan untuk disiasat bagi membantu polis menyelesaikan kes kehilangan pastor itu.

Di prosiding 13 November lepas, peguam keluarga Koh, Datuk Jerald Gomez, mengajukan kepada Supari sama ada Perkasa wajar disiasat kerana ketua polis negara ketika kejadian berlaku, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengkaji kemungkinan ekstremisme terkait dengan kehilangan itu.

Jerald memberitahu panel siasatan bahawa Perkasa dilihat mempertahankan Zakir Naik, seorang penceramah kontroversi yang dikehendaki pihak berkuasa India. Menurut peguam itu, Zakir menyertai siri ceramah di Arau, Perlis pada 10 Februari iaitu 3 hari sebelum Koh diculik.

Pegawai penyiasat itu menjawab ekstremisme petunjuk utama untuk memulakan siasatan, dan Perkasa relevan untuk disiasat tetapi polis akan menyiasat mereka jika terima maklumat.

Perkasa bagaimanapun “memandang serius” rujukan terhadap mereka dalam prosiding itu sebagai terlibat dalam kes kehilangan yang sedang menjalani proses inkuiri. Ibrahim kesal Perkasa dikaitkan dengan kehilangan Koh hanya kerana membela Naik.

“Soal pembelaan Zakir Naik tidak ada kena-mengena dengan isu ini (kehilangan Koh),” tegas Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat Perkasa di ibu negara hari ini.

Beliau berkata semua tindakan Perkasa sekitar Naik dan isu lain yang dibawa mereka mengikut undang-undang. “Perkasa sekadar mencari keadilan dan sifat kemanusiaan terhadap Naik…bila kita ikut undang-undang kita dituduh macam-macam.”

“Apa pun persepsinya, ekstremis ke atau pun rasis ke, tengok rekod kita. Tidak sekalipun kita timbul huru hara kecuali mengadakan wacana, meja bulat dan laporan polis, lebih daripada itu tidak ada.”

Perkasa dalam kenyataan 14 November lalu berkata dakwaan yang tidak disokong dengan bukti hasil daripada siasatan dan dibuat dalam sebuah negara majmuk akan mendorong dan menghasut pihak tertentu menimbulkan huru hara antara masyarakat berbeza agama.

“Tujuan apa peguam keluarga Koh timbulkan hubung kait Perkasa kepada Supari berkenaan, dan cara Supari itu jawab timbul persepsi kepada Perkasa,” kata Ibrahim kepada pemberita hari ini.

“Kita nak transkrip penuh (prosiding), kalau ada diubah suai ke,” tambahnya.

Beliau berkata pihaknya akan menangani rujukan terhadap Perkasa secara terbuka dan hanya akan mengambil tindakan undang-undang jika perlu.

“Sebaik sahaja isu kehilangan Koh timbul, saya juga ada keluarkan kenyataan menggesa polis melakukan siasatan secara mendalam dan teliti dan memastikan angkara siapa perbuatan itu dan diambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.”

Koh diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu, ketika beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah berhampiran menunjukkan 3 kenderaan menyekat kereta Koh dan 8 individu bertopeng melarikan beliau serta kenderaannya dari tempat kejadian.

Sehingga kini, tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: