Khamis, 23 November 2017

Cubaan bakar surau: Ada pihak sengaja cetus ketegangan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ekoran kejadian cubaan membakar sebuah surau di Damansara Damai, Petaling Jaya awal pagi semalam, kerajaan negeri hari ini mendakwa ia sebagai satu provokasi mencetuskan ketegangan kaum, agama dan bangsa di Selangor.
 
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa, Datuk Ahmad Yunus Hairi mengingatkan kesemua pihak tidak melakukan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
 
“Saya dengan ini menyeru kepada semua rakyat pelbagai kaum di dalam negeri Selangor agar tidak mengambil sesuatu tindakan yang boleh menyemarakkan sikap permusuhan di antara agama, kaum atau bangsa yang akhirnya akan mewujudkan suasana yang tidak aman di kalangan masyarakat.
 
“Marilah kita bersama-sama meraikan keunikan dan kepelbagaian yang ada di kalangan etnik
bangsa, kaum dan agama di negeri Selangor ini supaya negeri yang kita cintai ini akan terus aman makmur dan sentosa,” demikian memetik kenyataannya.
 
Dalam kejadian awal pagi semalam, salah seorang daripada 20 jemaah Surau Al-Huda, Damansara Damai yang baru selesai menunaikan solat Subuh melihat kesan terbakar pada pintu masuk surau itu.
 
Dipercayai bom petrol (molotov cocktail) itu dicampakkan ke dalam kawasan surau berkenaan.
 
Polis berjaya menahan suspek ketiga dan sedang dalam proses memohon perintah tahanan reman. Dua lagi yang ditangkap sebelum ini, telah ditahan sehingga 28 Nov untuk memudahkan siasatan.
 
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.
 
 

Tiada ulasan: