Ahad, 12 November 2017

Anwar tersenarai antara 28 ahli politik Muslim berpengaruh dunia


Anwar lagi 

KEADILAN DAILY


Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersenarai antara 28 orang ahli politik Muslim paling berpengaruh dunia dalam laporan The 500 Muslim: The World’s 500 Most Influential Muslim.

Laporan yang diterbitkan The Royal Islamic Strategic Studies Centre, Jordan itu meletakkan tokoh Reformasi itu pada tangga ke-27 ahli politik Muslim paling berpengaruh dengan tempat pertama diungguli Raja Salman Abdulaziz dari Arab Saudi.

Laporan itu mengumpulkan Muslim paling berpengaruh di dunia merentasi 13 kategori pengaruh iaitu kesarjanaan, politik, pentadbiran hal ehwal agama, pendakwah dan pembimbing kerohanian, kebajikan, isu sosial, perniagaan, sains dan teknologi, budaya dan seni, pembaca Quran, media, dan selebriti serta bintang sukan.

Presiden Pakatan Harapan merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terharu dengan pengiktirafan buat Anwar walaupun Anwar sehingga kini menghabiskan masa terkumpul dalam penjara selama hampir 10 tahun.

“Sumbangannya kepada pembangunan insan dan dunia Islam tidak dilupakan,” katanya menerusi akaun Facebook.

Selain Anwar dan Raja Salman, turut dinamakan dalam senarai itu adalah Raja Abdullah II dari Jordan, Presiden Turki Reccep Tayyip Erdogan, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Datuk Bandar London Sadiq Khan yang disenaraikan sebagai Persons of The Year.

Menurut laporan itu, senarai tersebut memberikan gambaran sebab individu-individu ini dianggap berpengaruh dan jenis-jenis keperluan manusia yang dipenuhi mereka berdasarkan pengaruh tersebut.

Tiada ulasan: