Jumaat, 20 Oktober 2017

Tun M dakwa CEO MAS berhenti kerana Najib

ISMA WEB



BANGI– Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan Peter Bellew yang berhenti daripada menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS), adalah disebabkan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun ini berkata, tindakan Najib, termasuk dalam pembelian pesawat baharu untuk MAS, tidak dirujuk terlebih dahulu kepada pengarah dan pengurus syarikat itu.

Beliau berkata, kapal terbang yang hendak dibeli oleh Najib, bukanlah pesawat yang diperlukan oleh MAS untuk penerbangan ke destinasi tertentu.

“Biarlah MAS lingkup asalkan Najib dapat ambil gambar dengan Trump. Jika boleh Najib ingin serah wang tunai sebanyak 20 Billion dollar (90 billion Ringgit) terus kepada Trump. Alangkah berkesannya jika dapat gambar Najib serah dua lori wang tunai dollar kepada Trump. Malangnya Trump tak mungkin terima dengan cara ini. Tetapi kalau kata nak beli kapal terbang ini lebih diplomatik.

“Apa kata Bellew. Dia cuba hendak tunjuk bahawa ia bersetuju. Kononnya dakwaan saya tidak tepat. Tetapi ini tidak kurangkan perasaan malu dan kecewa kerana Najib tidak sedikit endah CEO MAS ini.

“Apa nak buat. Kononnya perasaan patriotiknya tiba-tiba menyedar dirinya akan pentingnya ia kembali ke Ireland. Syabas dan Tahniah kepada Najib. Belilah kapal terbang untuk perhiasan negara,” katanya menulis dalam blog beliau hari ini.

Dalam tulisan itu, Dr Mahathir turut mendakwa Najib sedang meningkatkan usaha untuk melakukan penipuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Antara usaha itu, katanya, ialah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap pemimpin parti lawan iaitu Parti Warisan di Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dengan matlamat melumpuhkan parti itu dan menakutkan penyokongnya.

“Pegawai SPRM diugut untuk melaksana arahan Najib. Jika mereka tidak patuh kepada arahan Najib maka tindakan tertentu akan diambil terhadap mereka. Mereka mungkin diturun pangkat, ditukar ke jawatan lain yang lebih rendah, dimansuh hak pencen dan bermacam lagi.

“Pegawai Tinggi Polis, pegawai di Jabatan Pendakwa Raya, Pengarah Syarikat dalam Khazanah semua ditakutkan supaya menyokong perbuatan salah oleh Najib untuk menang PRU.

“Demikian juga pegawai-pegawai dari berbagai pejabat yang akan dilantik mengurus PRU. Mereka akan disuruh tipu untuk memberi kemenangan kepada Najib dalam PRU 14,” katanya.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir yang yakin Pakatan Harapan akan menang dalam PRU akan datang memberi jaminan bahawa kakitangan kerajaan yang diugut dan didera oleh Najib akan dibela.

Sehubungan itu, beliau menggesa penjawat awam supaya tidak takut dengan ugutan yang dibuat terhadap mereka.


Tiada ulasan: