Ahad, 22 Oktober 2017

Tiada tindakan terhadap Mahfuz, serah kepada rakyat untuk menilai - PAS Kedah [TONTON VIDEO]

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Kedah menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri tindakan mana-mana pemimpin atau ahli parti itu yang dilihat lebih cenderung untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) sejak kebelakangan ini.
 
Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang cenderung menyokong gabungan pembangkang itu sebenarnya telah menyerlahkan prinsip dan pendirian sebenar bekas naib presiden PAS itu.
 
"PAS Kedah serah kepada rakyat untuk menilai.
 
"Saya rasa rakyat boleh lihat orang ada prinsip atau tidak,"katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Ahmad Fakhruddin berkata demikian mengulas tindakan Mahfuz dan tiga lagi ADUN PAS iaitu Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) serta ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman yang hadir ke Konvensyen Amanah di Alor Setar, Kedah semalam.
 
Keempat-empat mereka dilihat mesra Amanah, malah sering menghadiri program anjuran PH sejak akhir-akhir ini.
 
"Mereka pergi (ke konvensyen Amanah) atas kapasiti sendiri, bukan di atas PAS Kedah, jadi ikut suka mereka," katanya mengulas tindakan empat wakil rakyat PAS itu.
 
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada PAS negeri akan mengambil tindakan terhadap Mahfuz dan tiga yang lain, Ahmad Fakhruddin berkata tiada aduan atau tindakan yang bakal dilakukan.
 
Beliau bagaimanapun tetap menegaskan tindak-tanduk keempat-empat wakil rakyat itu sudah cukup untuk memberi gambaran untuk dinilai oleh ahli PAS dan rakyat.  
 
"Sebenarnya rakyat dan ahli-ahli PAS sedang perhati kelakuan mereka ini, jadi di situ pun ahli-ahli PAS boleh melihat prinsip mereka sama ada mereka ini masih lagi ada hati bersama PAS atau tidak, itu semua ahli PAS boleh lihat," ujarnya.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dalam kenyataannya malam tadi berkata PAS tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap Mahfuz kerana beranggapan beliau terlalu kecil di dalam parti.
 
Mohd Amar juga berkata Mahfuz tidak akan diketengahkan sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain memberi peringatan kepada pemimpin itu untuk keluar daripada parti berikutan tindak tanduknya yang cenderung menyokong PH.
 
Mengulas lanjut, Ahmad Fakhruddin turut bersetuju agar Mahfuz tidak lagi diketengahkan sebagai calon PAS kelak. 
 
Malah katanya, PAS mempunyai calon yang lebih baik dan berkaliber untuk diangkat bagi menggantikan Mahfuz.
 
"PAS banyak calon, calon-calon PAS semua berkaliber insya-Allah.
 
"Semua yang bagus-bagus PAS letakkan (calon), dia (Mahfuz) naik duhulu pun melalui PAS juga," katanya.
 
 
 
 

Tiada ulasan: