Ahad, 22 Oktober 2017

Tempoh reman adik Shafie dilanjut dua hari lagi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Tempoh reman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal dilanjutkan lagi dua hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berkaitan projek luar bandar di Sabah.
 
Perintah itu dikeluarkan Majistret Kota Kinabalu, Cindy Mc Juce Balitus setelah tempoh reman sejak 18 Oktober lepas berakhir hari ini.
 
Terdahulu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon tempoh reman itu dilanjutkan selama tujuh hari, bagaimanapun mahkamah hanya membenarkan ia hanya dua hari.
 
Mohd Yusof, 57, merupakan adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, adalah individu kesembilan daripada 11 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta iaitu sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diseleweng daripada sebuah kementerian.
 
Beliau disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
 
Sementara itu Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin memaklumkankan Mohd Shafie buat masa ini tidak berada di dalam lokap SPRM tetapi masih berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 bagi menjalani rawatan.
 
“(Buat) masa ini saya fikir (Mohd Shafie) masih di hospital untuk rawatan. Jika beliau fit (sihat) untuk dimasukkan ke dalam lokap (SPRM), kami akan masukkan. Apa-apa pun, kami menunggu laporan daripada pihak hospital,” katanya.
 
Mohd Shafie pada Khamis malam lalu telah dimasukkan ke HQE 2 kerana mengalami tekanan darah tinggi sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret pada Jumaat bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
 
 

Tiada ulasan: