Ahad, 15 Oktober 2017

Sultan Johor arah JAINJ berhenti berurusan dengan Jakim



Sultan Johor arah JAINJ berhenti berurusan dengan Jakim


Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) agar tidak lagi berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), susulan kritikan Dr Zamihan Mat Zin terhadap baginda.

Zamihan yang merupakan pegawai kader Jakim baru-baru ini dilaporkan mengkritik Sultan Ibrahim yang membidas dobi “Muslim sahaja” di Muar yang menjadi perhatian negara.

Baginda berkata, Jakim tidak perlu memberi pandangan agama kepada Johor, memandangkan ia tertakluk di bawah bidang kuasa negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, lapor Sinar Harian.

“Beberapa mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti tersebut.

“Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain,” titah Sultan Ibrahim seperti dipetik.

“Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia. Selepas ini juga saya mengarahkan Jainj tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” titah Sultan Ibrahim ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-17, hari ini.

Menyifatkan Zamihan sebagai “tin kosong yang tiada otak”, Sultan Ibrahim mendakwa penceramah itu berbohong apabila menafikan kenyataan asalnya selepas menerima kecaman.

“Nampaknya ustaz ini dah pandai berbohong pula, macam mana kita nak belajar dengan dia. Jangan nak temberang dengan saya, lepas ini cukuplah berceramah depan cermin sahaja untuk kenal diri sendiri,” titah Sultan Ibrahim lagi.

Zamihan yang juga presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) sebelum ini mendakwa rakaman ceramahnya itu diputarbelit media dengan tujuan “mengeruhkan hubungan antara agamawan dan Istana”.

Pada 11 Oktober lalu, beliau direman polis atas kesalahan mengikut Akta Hasutan bersama Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dibebaskan hari ini.

Selain itu, penceramah kontroversi itu turut diheret ke lembaga tatatertib Jakim, selain digantung tauliah ceramah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Tiada ulasan: