Selasa, 17 Oktober 2017

Siapa bakal penerima manfaat terbesar Bajet 2018?


PETANI, nelayan, pekerja kilang dan penjawat awam gred rendah antara mereka yang meraih paling banyak tumpuan dalam Bajet 2018- yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Sejak kajian menunjukkan isu ekonomi seperti kos sara hidup tinggi dan kelembapan peningkatan upah adalah antara kebimbangan pengundi, Bajet 2018 yang akan diumumkan pada 27 Oktober depan akan diselaraskan untuk mengatasi masalah ini, kata ahli ekonomi

Dan memandangkan keperitan peningkatan harga makanan dan perkhidmatan akan memberi kesan terburuk kepada kelompok terbawah 40% rakyat Malaysia, mereka menjangkakan lebih banyak bantuan akan diumumkan menerusi bajet itu, kata ahli ekonomi.

“Perkara yang akan menjadi keutamaan adalah menangani peningkatan kos sara hidup yang perlu ditangani dengan langkah seperti pemberian bantuan yang lebih besar di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” kata Prof Yeah Kim Leng dari Fakulti Perniagaan Sunway University.

“(Juga) lebih banyak program subsidi tersasar untuk kumpulan tidak bernasib baik khusus seperti keluarga ibu atau bapa tunggal, warga emas dan kumpulan miskin bandar dan luar bandar.”

Tetapi kumpulan pendapatan pertengahan juga tidak akan dibiarkan. Ahli ekonomi, Lee Heng Guie berkata kerajaan boleh mengumumkan pengurangan cukai persendirian atau meningkatkan rebat perbelanjaan perubatan.

“Pengurangan cukai persendirian bertujuan meningkatkan pendapatan boleh belaja pekerja dan isi rumah, dan meningkatkan kuasa belian pembeli,” kata Lee, pengarah eksekutif Socio Economic Research Centre (SERC).

Penganalisis politik, Hisomuddin Bakar berkata bajet itu adalah peluang untuk memujuk rakyat mengapa kerajaan pemerintah Barisan Nasional berhak diberikan satu lagi penggal untuk mentadbir.

Bajet itu akan dibentangkan pada hujung Oktober, dan spekulasi mengenai pilihan raya mengatakan ia boleh diadakan pada suku pertama tahun depan, kurang enam bulan lagi.

“Menjelang pilihan raya, BN memerlukan sesuatu yang boleh membentuk faktor ‘wow’ seterusnya memenuhi imaginasi pengundi. Salah satu perkara yang boleh melakukannya adalah bajet,” kata Hismouddin dari Ilham Centre.

Bertumbuh tapi tak melegakan 

Tahun ini, ekonomi negara bertumbuh pada kadar lebih kukuh selepas berlaku kelembapan sejak dua tahun lepas, kata Lee, didorong oleh perbelanjaan pengguna, pengembalian pelaburan swasta dan lonjakan eksport.

“Pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebenar terus berkembang kukuh pada kadar 5.7% tahun-demi-tahun untuk separuh pertama 2017.”

Tetapi pengguna masih tidak merasakan kesan positif berita baik itu.

The Malaysian Insight pernah melaporkan isu kos sara hidup yang dipenuhi kisah bagaimana barangan menjadi sukar dibeli dan dimiliki.

Situasi ini wujud walaupun hakikatnya, Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengukur kadar inflasi jatuh kepada 3.7% (Ogos) berbanding 5.1% pada Mac.

“Sama ada ia adalah mitos atau persepsi, isi rumah tidak menyakini yang harga barangan dan perkhidmatan berada pada kadar mampu milik,” kata Lee.

Tinjauan  pada perayaan Deepavali mendedahkan yang ramai rakyat yang meraikan terpaksa berjimat cermat untuk perayaan itu dan ini mengurangkan pendapatan peniaga.

Satu lagi kajian menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar seperti Lembah Klang, Johor Baru dan George Town menjangkakan peningkatan kos sara hidup dalam 10 tahun mendatang.

Pada 2015, kajian Bank Negara mendapati yang tiga daripada empat rakyat Malaysia tidak mampu mengeluarkan bajet RM1,000 sekiranya diperlukan semasa kecemasan.

Kajian itu senada dengan kajian awal dilakukan  mendapati penjawat awam gred rendah tidak mampu membuat simpanan setiap bulan selepas berbelanja untuk keluarga mereka.

Dan walaupun, Malaysia menyaksikan peningkatan median bulanan pendapatan isi rumah, serakan pendapatan tidak sekata boleh memberi kesan kepada kumpulan pendapatan rendah, kata ahli ekonomi Hafiz Noor Shams.
Mekanisma sedia ada 

Walaupun pentadbiran Najib dijangka memperuntukkan sebagaian besar bajet bagi menangani kebimbangan ini, ahli ekonomi Dr Rajah Rasiah memberi amaran yang kerajaan tidak mampu mempunyai keupayaan untuk berbelanja.

“Harga minyak dan gas masih tidak kembali kepada harga 2008-10. Dengan pendapatan eksport yang kurang ia mungkin sukar untuk mengumumkan bajet besar kerana hutang awam yang tinggi,” kata Rajah, yang merupakan profesor pembangunan antarabangsa di Universiti Malaya (UM).

Jadi daripada mengumumkan langkah baru, kerajaan berkemungkinan besar meningkatkan peruntukan sedia ada, kata Rajah.

Langkah ini termasuk BR1M yang dijangka dibayar kepada tujuh juta isi rumah dan penerima bantuan itu.

Lee dari SERC berkata isi rumah yang memperolehi bawah RM3,000 akan menyaksikan BR1M mereka ditingkatkan daripada RM100 kepada RM1,300. Bagi mereka yang memperolehi pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000, BR1M akan ditingkatkan daripada RM900 kepada RM1,000.

“Kerajaan (juga) mungkin menawarkan bonus kepada penjawat awam, meningkatkan bayaran BR1M dan menyasarkan lebih banyak petani dan nelayan untuk meraih sokongan menggunakan mekanisma sedia ada,” kata Rajah dari UM.

Langkah itu yang diperkenalkan dalam bajet 2017, seperti elaun khas untuk 57,000 nelayan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

Bagi pemilik getah kecil, RM250juta digunakan untuk membeli getah pada harga “lantai” minimum.
Selain itu, elaun bantuan khas monsoon sebanyak RM200 sebulan untuk November, Disember dan Januari juga dibayar kepada 440,000 pemilik dan penoreh getah kecil.

Lee berhujah yang mereka dalam kelompok pendapatan pertengahan juga mungkin mendapat perhatian bajet dalam bentuk pengurangan cukai persendirian sebanyak 1 hingga 2%.

Pilihan lain bajet itu boleh menawarkan lebih banyak pelepasan cukai dan rebat untuk perbelanjaan perubatan untuk penyakit kronik, perbelanjaan ibu bapa serta pendidikan anak-anak.

“Sekurang-kurangnya, insuran perubatan atau penjagaan kesihatan perlu dikecualikan daripada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).

“Jika perolehan membenarkan, bajet mungkin mempertimbangkan pengurangan cukai korporat sebanyak 1 hingga 23% untuk syarikat besar dan sehingga 17% untuk SME (perusahaan kecil dan sederhana) untuk pendapatan boleh cukai pertama sebanyak RM500,000.” 
 
 

Tiada ulasan: