Isnin, 16 Oktober 2017

PH tak pernah harap penyokong PAS hadir himpunan

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya parti itu bergantung kepada PAS dalam menarik sokongan peserta ke 'Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' yang berlangsung Sabtu lalu.
 
Bekas Menteri Besar Kedah itu sebaliknya menjelaskan, ia bukan perkara yang perlu dibimbangkan memandangkan PH tidak lagi mempunyai hubungan dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
 
"Saya tak berapa bimbang soal itu kerana kita pun telah buat keputusan bahawa pilihan raya akan datang ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kesemua ataupun di kebanyakan kerusi yang terbuka untuk ditandingi. Maksudnya kita tak harapkan sokongan daripada PAS.
 
"Himpunan yang kita buat baru-baru (berlangsung) di bandar, sokongan PAS ramai wujud di luar bandar. Daripada majlis yang kita anjurkan di luar bandar, saya yakin yang datang mendengar ucapan adalah ahli dan penyokong Umno serta PAS," katanya kepada Antarapos. 
 
Semalam PAS melalui Ketua Dewan Ulamanya Datuk Dr Mahfodz Mohamad, berkata sambutan hambar pada himpunan itu memang sudah dijangka.
 
Ini kerana katanya, pemimpin PH mungkin berasa tergugat dengan kejayaan PAS pada Himpunan Fastaqim 2.0 yang menyaksikan 200,000 peserta hadir acara berkenaan.
 
Tambah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu lagi, penyokong PAS sepatutnya membuat keputusan sama ada mahu terus bersama parti mereka yang didakwanya bersekongkol dengan Umno ataupun menyokong PH yang mahu membawa perubahan.
 
Mukhriz juga mempertahankan himpunan berkenaan tidak gagal tetapi mendakwa himpunan itu lebih 'berkualiti' berbanding himpunan anjuran Umno.    
 
Sambil mempertahankan jumlah kehadiran pada hari itu mencecah 25,000 orang, Mukhriz menambah peserta yang hadir juga datang atas kerelaan sendiri tanpa ditaja dengan wang tambang mahupun baju.  
 
"Tak perlu nak berpolemik soal ini, kerana daripada pengalaman saya sendiri, setiap kali Umno atau Barisan Nasional (BN) nak buat himpunan, kehadiran itu disebabkan 3T iaitu tambang, t-shirt dan topi. Kalau tiada 3T ini, lihatlah berapa yang datang.
 
"Yang kami buat himpunan rakyat ini, bukan setakat tiada 3T malah orang yang datang mengeluarkan belanja lagi. Sanggup menyumbang duit juga untuk gerakan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi. Itu bezanya dari segi peserta yang datang," katanya. 
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mencadangkan PH mengadakan sekali lagi himpunan yang sama pada masa akan datang. 
 
Jamal berkata ini kerana terlalu banyak alasan yang diberikan pemimpin PH apabila himpunan anjuran mereka gagal mencapai sasaran 100,000 peserta.
 
 

Tiada ulasan: