Ahad, 15 Oktober 2017

PAS terus desak kerajaan segerakan penubuhan RCI Memali

ANTARAPOS

Post Pic


KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat peristiwa berdarah Memali pada 1985.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini kerana sehingga kini isu Memali menimbulkan pelbagai kenyataan yang mengelirukan dan satu siasatan yang adil dan telus perlu dijalankan bagi membongkar peristiwa itu.

“PAS melihat isu ini belum selesai walaupun pernah dibentangkan di Parlimen, jadi sebab itulah jalan penyelesaian adalah dengan menubuhkan RCI,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sini, hari ini.

Ujarnya, PAS menerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia akan mengadakan satu majlis penjelasan berkenaan isu tersebut pada 19 November ini di Memali, Kedah bersempena ulang tahun peristiwa itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 Ogos lalu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan RCI berkaitan peristiwa Memali bagi mengetahui kebenaran, fakta dan sekiranya ia boleh mendatangkan kebaikan.

Najib berkata, pada masa ini kerajaan menunggu reaksi masyarakat termasuk yang terlibat dalam peristiwa itu sebelum membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya.

Dalam peristiwa Memali pada 19 November 1985, 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya



Tiada ulasan: