Selasa, 31 Oktober 2017

PAS minta Ambiga mengakui peranan dalam laporan Sarawak Report

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mendesak bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga mengakui peranannya sebagai sumber menyalurkan maklumat kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
 
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata tindakan segera perlu diambil Ambiga, sama ada mengakui atau menafikan penglibatannya penting kerana ia melibatkan imej PAS.
 
Semalam Rewcastle-Brown menamakan Ambiga sebagai sebahagian daripada pembelannya dalam saman oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Kononnya Ambiga memberitahu bahawa PAS dan Najib mempunyai hubungan yang akrab, malah mendakwa wujudnya perjanjian kewangan antara kedua-dua pihak berkenaan.
 
"Ambiga kena respon, dalam penyata Rewcastle-Brown, sumbernya adalah Ambiga sahaja dari 'hearsay', sedangkan sebelum ini PAS telah dizalimi dengan fitnah begitu besar, ia merosakkan imej. 
 
"Jadi Ambiga sebagai peguam kena respon segera, di mana sumber Ambiga, adakah ia suatu andaian ataupun ada sumber yang tepat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Rakyat, pagi tadi.
 
Sarawak Report sebelum ini mendakwa PAS menerima dana politik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM90 juta.
 
Bukan itu sahaja Rewcastle-Brown juga memberitahu mahkamah yang Najib didakwa memindahkan wang berjumlah lebih RM200 juta kepada bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa sejak 2014.
 
Kononnya wang itu dikatakan digunakan untuk membiayai sebuah kumpulan dalam PAS.
 
Bagaimanapun Nasharudin pada April lalu menafikan ada menerima wang daripada Najib dan mengancam untuk memfailkan saman terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana membuat dakwaan sedemikian.
 
Editor Sarawak Report itu sebelum ini dikaitkan terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan menerima dana daripada bekas perdana menteri itu.
 
Rewcastle-Brown bagaimanapun menafikan kedua-dua dakwaan itu.
 
Seorang lagi pemimpin PAS, yang juga Naib Presiden parti, Dr Idris Ahmad senada dengan pendirian Khairuddin.
 
"Dia patut minta maaf sebagai peguam yang perjuangkan integriti, soal kebenaran yang perjuangkan pilihan raya yang bersih, jadi tak betul.
 
"Kredibiliti Sarawak Report juga boleh dipersoalkan, apa fungsinya, tujuan buat berita begitu. 
 
"Daripada awal lagi kita minta SPRM, Bank Negara untuk siasat, ini benda mudah. Malaysia kita tahu ada pakar forensik akaun, bukan susah dapat tahu," ujarnya

Tiada ulasan: