Jumaat, 20 Oktober 2017

PAS gesa perbahasan RUU355 diteruskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
SHAH ALAM: PAS menggesa perbahasan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) diteruskan pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula minggu depan. 
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, RUU itu tidak wajar dihentikan atas apa jua alasan.
 
“Perbahasan harus diteruskan sehingga akhir mengikut prosedurnya walaupun tidak boleh disempurnakan pada sesi parlimen kali ini.
 
“Ia seumpama perbicaraan kes mahkamah yang telah bermula tidak akan dihentikan sehinggalah berakhir dengan keputusan oleh hakim. Bezanya parlimen akan ditentukan melalui pengundian ahli parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Persidangan Dewan Rakyat akan bermula 23 Oktober dan dijadualkan berakhir 30 November ini.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 6 April lalu membentangkan usul RUU 355 bertujuan memperkasakan mahkamah syariah. 
 
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan perbahasan RUU 355 ditangguh ke sidang Dewan Rakyat seterusnya.
 
Speaker membuat keputusan itu selepas Takiyuddin menamatkan ucapannya menyokong pembentangan RUU berkenaan.
 
Untuk rekod, ini adalah kali ketiga Hadi membentangkan rang undang-undang berkenaan. Kali pertama adalah pada 26 Mei tahun lalu.
 
Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan termasuk penambahan tempoh penjara lebih tiga tahun atau denda lebih RM5,000 atau lebih enam sebatan kepada hukuman penjara lebih 30 tahun atau denda lebih RM100,000 atau 100 sebatan dilaksana mengikut jenayah syariah.
 
 

Tiada ulasan: