Ahad, 15 Oktober 2017

NGO: Cadangan sektor pembuatan ambil 100% pekerja asing tak praktikal

 
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu berkata, cadangan itu juga bakal memberi kesan seperti pengurangan tenaga kerja mahir dalam negara, terutama di sektor pembuatan.


Majlis-Tindakan-Ekonomi-Melayu-mtem-ambil-pekerja-asing

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan pengambilan 100% pekerja asing dalam sektor pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, ini kerana cadangan itu dilihat tidak praktikal dan bakal memberi kesan seperti pengurangan tenaga kerja mahir dalam negara, terutama di sektor berkenaan.

Beliau berkata, MTEM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu sedia maklum kerajaan belum membuat sebarang keputusan meluluskan syarikat tempatan berorientasikan eksport untuk mengambil 100% tenaga kerja asing di kilang mereka berdasarkan pertimbangan mengikut permohonan.

“Biarpun pertimbangan itu hanya akan dibuat untuk penggajian pekerja di barisan pengeluaran sahaja, yakni pekerja berkemahiran rendah dan bukannya seluruh operasi kilang atau syarikat, namun ia perlu diperhalusi kerana bimbang sektor lain turut memohon pengambilan 100% pekerja asing di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara yang menuju ke arah berpendapatan tinggi tidak harus membuka jurang lebih besar, terutama dalam kalangan tenaga buruh di peringkat bawah.

Yazid berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia bagi suku pertama tahun ini menunjukkan kadar penggangguran berada pada tahap 3.5% berbanding 3.4% tahun lepas dan 3.1% pada 2015.

Katanya, kerajaan harus memberi perhatian khusus kepada golongan ini dalam usaha memenuhi pasaran kerja, sekali gus menambah bilangan pekerja mahir dalam pelbagai sektor yang tenaga buruhnya dipenuhi pekerja asing.

“MTEM berharap kerajaan tidak mudah terpengaruh dengan permintaan pihak berkepentingan kerana keutamaan kerajaan adalah membangunkan negara dan rakyat demi mencapai hasrat Transformasi Nasional 2050,” katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan membenarkan pengambilan 100% pekerja asing oleh syarikat yang menjalankan aktiviti eksport bagi segmen pengeluaran supaya mereka dapat memenuhi permintaan semasa dan masa depan.

Tiada ulasan: