KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 27 November untuk mendengar
permohonan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua untuk membatalkan
saman fitnah yang difailkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Hakim Ahmad Zaidee Ibrahim menetapkan tarikh itu berikutan pengurusan kes hari ini.
Ahmad Zaidee juga menetapkan tarikh pendengaran selama lima hari mulai 5
Mac sekiranya permohonan di dalam kamar itu dibatalkan.
Pua dilaporkan memohon untuk membatalkan saman itu kerana mendakwa
Najib memfailkan saman atas kapasiti peribadi sebagai perdana menteri.
Najib, atas kapasiti peribadinya, dua tahun lalu memfailkan saman
fitnah itu dengan menamakan Pua sebagai defendan pertama dan pemilik
portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 52, sebagai defendan kedua
berhubung isu 1MDB.
Najib selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya, berkata pada 13
November 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan
dana DAP, mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.
Beliau berkata rakaman ucapan itu dimuat naik oleh Chan sendiri dan
atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman sesawang
Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.
Najib berkata rakaman ucapan itu mengandungi perkataan merujuk dan
berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya serta individu dikenali
sebagai ‘perdana menteri’ dan semestinya merujuk kepada diri beliau.
Katanya, penerbitan perkataan fitnah itu merosakkan reputasinya kerana
rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh
dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan
dan boleh dikongsi semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan