Ahad, 15 Oktober 2017

[LANGSUNG] Himpunan Anti-Najib selesai, hanya 10 peratus daripada sasaran hadir

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar, Athirah Hanapiah dan Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Himpunan anti Najib oleh Pakatan Harapan (PH) melabuhkan tirainya tepat jam 11.00 malam dengan hanya 10 peratus daripada jumlah sasaran penganjur hadir.
 
Penganjur sebelum ini dalam beberapa sidang media menyatakan keyakinan bahawa himpunan itu mampu mengumpulkan 100,000 peserta dan ternyata ia meleset sama sekali.
 
Himpunan yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya bermula jam 4.00 petang sehingga 11.00 malam itu menyaksikan pemimpin PH mengitar semula tuduhan terhadap Perdana Menteri dan Umno Barisan Nasional (BN).
 
Penganjur juga dilihat tiada modal baru untuk diketengahkan apabila menayangkan video montaj mengenai Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang kini sedang dipenjarakan akibat kes sodomi.
 
Penganjur juga dilihat begitu berusaha untuk menutup kegagalan mereka menarik jumlah peserta seperti yang disasarkan dengan alasan 'ada perlawanan bola - Mancester United lawan Liverpool'.
 
Penganjur juga berkata kehadiran peserta meningkat tetapi ramai yang pulang dan mngikuti perkembangan himpunan itu melalui 'stream live'.
 
Himpunan ini adalah kemuncak kepada siri jelajah PH di seluruh negara mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi senjata utama pembangkang untuk memancing undi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
 
Para penganalisis politik melihat sambutan terhadap perhimpunan ini sebagai penanda aras sambutan rakyat untuk PH pada pilihan raya kelak.
 
DAP, PKR, PPBM dan Amanah dibelit pelbagai kemelut dalaman dan sehingga sekarang masih dilihat gagal bergerak sebagai sebuah pakatan yang mampu meraih sokongan pengundi untuk menawan Putrajaya.
 
Ikuti laporan langsung Antarapos
 
11.10pm: Himpunan tamat dan peserta bersurai dengan aman.
 
10.59pm: Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir menamatkan ucapannya dengan mengetuai bacaan ikrar bersama barisan pimpinan utamanya.
 
Ikrar yang dinamakan ‘Lima tindakan 100 hari pertama PH’ itu antaranya menjanjikan mahu memastikan SPRM sebagai badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen.   
 
Ia sekaligus menutup tirai himpunan Anti Najib, tepat jam 11.
 
10.20pm: Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan ucapan dengan menyerang Najib dan menggesa penyokong PH menjatuhkan kerajaan beliau.
 
Dr Mahathir turut dilihat membidas PAS kerana enggan menyertai Pakatan Harapan untuk memastikan saingan dua penjuru menentang Barisan Nasional pada pilihan raya umum.
 
“Mungkin akan ada orang tertentu bersaing dan bertanding dalam pru14. Ketepikan mereka sebab mereka adakan persaingan tiga penjuru dan mereka sebenarnya penyokong Najib,” kata beliau.
 
10.10pm: Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengetuai bacaan ikrar 'Padang Timur'  dengan diikuti barisan kepimpinan dan peserta himpunan.
 
Menyusul selepas itu, montaj video Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimainkan di pentas utama. 
 
Sebelum itu Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap dengan menyeru rakyat melakukan perubahan. 
 
 
 
9.45pm: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sekali lagi mengulangi pendirian PH untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas pembangkang menang dalam PRU14 nanti.
 
“Kalau anda sokong untuk kita gantikan BN kita akan buat baik terhadap negara dengan menghapuskan GST.
 
"Pada masa yang sama kita akan kekalkan BR1M, kita mampu buat demikian kerana kita bersih dan rakyat pasti akan dapat wang,” katanya ketika berucap di Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, malam ini.
 
Pendirian berkenaan BR1M pernah dinyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Januari lalu.
 
9.40pm: Pentas ceramah kelptokrasi tiba-tiba berubah suasana seketika apabila Presiden Amanah, Mohamad Sabu dikejutkan dengan sambutan ringkas hari jadinya.
 
Kelihatan kek dibawa ke atas pentas dan pemimpin itu diraikan oleh pimpinan PH yang lain.
 
 
9.26pm: Timbalan Presidennya Lim Guan Eng tiba di Padang Timur. 
 
 
9.20pm: Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos berkata ketidakhadirannya di himpunan anti-Najib pada hari ini disebabkan tekanan daripada pihak berkuasa.
 
Perkara itu dimaklumkan menerusi salah seorang pembantunya menerusi kenyataan yang dihantar kepada pemberita.
 
“Untuk makluman, Datuk Seri Jamal Yunos memohon maaf kepada semua sahabat2 media, NGO dan penyokong-penyokong kerana tidak dapat turun ke Padang Timur, PJ hari ini. 
 
“Ini disebabkan oleh desakan pihak berkuasa yang diterima supaya tidak menghadirkan diri ke lokasi yang diumumkan beberapa kali hari ini,” demikian memetik kenyataan tersebut.
 
 
9.10pm: Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba ke lokasi himpunan.
 
 
9.05pm:  Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyeru rakyat menggunakan kuasa mereka di dalam pilihan raya akan datang untuk mengubah nasib negara.
 
"Jangan takut siapa pun kita, jangan risau, sama ada kita orang Melayu, Cina atau India, termasuklah di Sabah dan Sarawak. Kita hanya mahu negara yang diperintah oleh kerajaan yang adil dan saksama.
 
"Kita tidak ada pilihan melainkan memilih pemimpin yang berjanji untuk membina kembali negara ini,” ujarnya.
 
9.00pm: Berbaki lagi dua jam sebelum himpunan ini melabuhkan tirai, hanya 10 peratus (10,000 orang) hadir daripada jumlah 100,000 peserta hadir, seperti yang disasarkan penganjur. 
 
8.00pm: Himpunan diteruskan dengan persembahan hiburan dan deklamasi sajak oleh Datuk A Samad Said. 
 
7.10pm: Himpunan berhenti seketika bagi memberi laluan kepada solat Maghrib dan solat hajat. Acara akan diteruskan selepas itu dengan persembahan deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said. 
 
 
6.00pm: Ketua Srikandi PPBM, Rina Mohd Harun menyindir Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang masih belum kelihatan sehingga kini.
 
"Kalau sehari saja buat jualan murah ikan, belum tentu dapat selesaikan masalah rakyat," sindirnya. 
 
5.40pm: Timbalan Presiden PH yang juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin tiba di Padang Timur.  Himpunan pada ketika ini berehat seketika sebelum ucapan pemimpin wanita bermula.
 
5.20pm:  Kelibat Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos sehingga jam lima petang ini belum kelihatan di Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur.
 
Sebaliknya hanya kelibat salah seorang penyokongnya yang juga pemimpin NGO berkenaan, Mejar Razali Zakaria yang kelihatan hadir menaiki sebuah kereta Toyota Hilux untuk 'meninjau keadaan'. Ketika ditanya sama ada Jamal akan hadir sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, Razali bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikannya.
 
"Tak ada apa cuma kita mahu lihat himpunan aman atau tidak. Kalau aman, okaylah. Datuk Seri Jamal? Tak apa, tunggu dulu, kita buat satu kejutan. Kita tunggu dulu. Tak boleh beritahu, rahsia," katanya ketika ditanya pemberita.
 
 
 
 
5.00pm: Setakat jam 5 petang, dianggarkan sekitar 5,000 orang peserta himpunan sudah mula hadir namun sebahagian daripada mereka masih berlegar di sekitar tepi Padang Timur.
 
 
4.35pm: Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad. Dalam ucapannya, beliau turut menyeru orang ramai khususnya golongan belia untuk mendaftar sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Menyusul selepas itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil dan Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh memberikan ucapan di pentas utama.
 
4.30pm: Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A. Kadir Jasin mendakwa kehadiran peserta himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi sehingga malam ini bukti rakyat mahu memerangi gejala rasuah.
 
“Istilah kleptokrasi ini baru sahaja diketahui rakyat Malaysia, lebih setahun lalu tetapi ia telah mula menyedarkan rakyat.
 
“Ini kerana, sekiranya sistem ini diteruskan (di negara ini), ia amat berbahaya,” katanya yang ditemui pemberita di perkarangan Padang Timur, petang tadi.
 
Kadir dalam pada itu berkata tangkapan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kebelakangan ini mencerminkan agensi itu bertanggungjawab memerangi rasuah.
 
“Saya rasa tidak perlu rakyat mempertikaikan perkara ini kerana SPRM sekarang ini dilihat begitu cergas melakukan tugas dan tindakan(di bawah bidang kuasa mereka).
 
“Tetapi, majoriti rakyat akan tertanya mengapa (ada kes) yang sering diperkatakan, dituduh dan didakwa tidak diambil tindakan,” katanya lagi.
 
4.20pm: Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di lokasi Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi. Turut sama tiba, Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu, Tony Pua dan beberapa pemimpin tertinggi PH yang lain.
 
4.15pm: Padang Timur kelihatan masih lengang. Keadaan padang yang lecak turut menyukarkan peserta himpunan untuk duduk berhimpun di tengah padang. 
 
 
3.40pm: Pihak media masih menunggu ketibaaan beberapa pimpinan utama PH yang dijangka tiba jam 4 petang nanti, antaranya Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunus yang dikatakan bakal hadir untuk menjual ikan di himpunan ini juga masih belum turut kelihatan. Jamal sepatutnya tiba di sini jam 3 petang tadi.
 
 
3.31 pm: Orang ramai mula membanjiri Padang Timur selain aliran kereta juga lancar memasuki kawasan sekitarnya.  Setakat ini, dianggarkan kira-kira 400 orang peserta himpunan mula kelihatan berlegar-legar di sekitar lokasi.
 
Antara pemimpin PH yang juga dilihat sudah hadir antaranya Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha Sektretariatnya Datuk Saifuddin Abdullah.
 
 
 
3.00pm: Polis trafik mula mengawal lalu lintas di beberapa jalan utama menuju ke Padang Timur, tempat berlangsungnya Himpunan Sayangngi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi hari ini. 
 
Sehingga jam 3.30 petang, jalan utama menuju tempat himpunan, masih berjalan lancar.
 
 
 

Tiada ulasan: