Ahad, 22 Oktober 2017

Kuala Krai Memilih: PAS atau Umno?

Oleh Dr Awang Azman Awang Pawi



 DR Hatta Ramli menang kerusi Parlimen Kuala Krai buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) atas tiket PAS. Beliau memperoleh undi sebanyak 55%.

Pada PRU13 pula meskipun menang sekali lagi di kerusi tersebut, jumlah undi dimenangi menurun sebanyak 4% sungguhpun lawannya pula bukanlah nama nama besar dalam politik Kelantan.

Hatta mulai bertanding atas tiket PAS pada 1999 dan 2004 di Parlimen Gombak. Namun pada kedua-dua PRU tersebut beliau tewas di tangan Umno.

Kerusi Parlimen Gombak ini kemudian berjaya diambil alih oleh Mohamed Azmin Ali pada PRU 2008 dan 2013.

Perpecahan dalaman PAS menyebabkan ramai golongan teknokrat dan profesional memilih keluar parti dan seterusnya membentuk sebuah parti baru dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Selama ini, golongan ini banyak dilabel sebagai Erdogan dan Anwarinas, merujuk pada mereka yang lebih mahukan kerjasama dengan PKR dan DAP diteruskan.

Hakikat ini membawa kepada penubuhan parti baru itu pada September 2015.

Perpecahan PAS dan tertubuhnya Amanah menyebabkan Dr Hatta berdepan laluan dan cabaran politik yang paling sukar di kawasan Parlimen Kuala Krai.

Sebagai pengarah pilihan raya beliau tentu dapat membaca senario politik di Kuala Krai yang masih lagi mempunyai budaya politik tradisional. Dengan kata lain, pengundi tempatan masih berpegang pada budaya lama seperti menyokong sepenuhnya arahan parti untuk mengundi sesiapa sahaja calon PAS asalkan calon tersebut dilihat mesra rakyat.

Dan kini Hatta bukanlah lagi bertanding atas tiket PAS.

Sudah pasti masalah terbesar Amanah di Kuala Krai ialah kelemahan jentera kempen. Selama ini Hatta menang kerana menggunakan jentera kempen PAS yang lebih kuat, termasuk kempen dari rumah ke rumah. Prasarana politik Amanah setakat ini belum lagi terserlah, sekurang-kurangnya di Kuala Krai.

Apabila bertanding atas tiket Amanah, sentimen isu baiah dan lafaz cerai taklik akan sentiasa dimainkan oleh jentera kempen di akar umbi. Isu kekerapan di kawasan juga akan dijadikan bahan kempen politik.

Sudah tentu sentimen ini dimanfaatkan untuk menyekat parti Pakatan Harapan (PH)bertapak di Kuala Krai.

Di Kuala Krai, pengundi lebih menghargai isu-isu yang bersifat personal touch dan berbesar hati apabila calon mereka boleh jadi imam, sentiasa bersama rakyat ketika majlis kenduri-kendara dan mengadakan pelbagai aktiviti penduduk setempat.

Apabila ada kematian bukan sahaja membantu mengimamkan solat jenayah, tetapi turut mengusung jenazah hingga ke liang lahad dan kalau boleh memandu sendiri kenderaan jenazah ke tanah perkuburan. Demikian antara kriteria penduduk tempatan ketika ditanya kriteria calon pilihan mereka.

Pertandingan tiga penjuru

Pertandingan tiga penjuru kini tidak dapat dielakkan antara Amanah, PAS dan Umno. Berdasarkan situasi di Kuala Krai, Hatta dijangka tidak bertanding di Kuala Krai.

Beliau sebaliknya dijangka akan dihantar untuk bertanding di kawasan bandaran yang lebih menyerlahkan peranannya sebagai ahli politik yang memperjuangkan isu-isu nasional dan pandangan seumpama ini lebih sesuai untuk kawasan pengundi bandaran atau kelas menengah Melayu dan kawasan campuran dengan etnik Cina dan India.

Peranan Hatta dianggap aset penting kepada PH dan peranannya lebih terserlah di kawasan bandaran. Buktinya, beliau dilantik sebagai salah seorang timbalan pengerusi PH Wilayah Persekutuan.

Pelantikan ini merupakan satu isyarat kemungkinan besar beliau akan bertanding di kawasan bandar di luar Kelantan. Selain itu, faktor peluang Hatta untuk menang sangat tipis di Kuala Krai merupakan faktor utama beliau akan bertanding di kawasan lain.

Berdasarkan situasi di parlimen Kuala Krai, pertandingan sebenar Parlimen di Kuala Krai pada PRU akan datang lebih tunduk memihak kepada persaingan antara PAS dan Umno.

Siapa calon PAS?

Pada masa kini ada beberapa calon berpotensi PAS yang sedang dikenal pasti. Antaranya ialah Abdul Latif Abdul Rahman, yang kini Adun Mengkebang dan juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai.

Lulusan pengajian bahasa Arab dan al-Quran ini juga ketua Dewan Pemuda PAS Negeri. Ada yang berpendapat sekiranya Abdul Latiff meninggalkan DUN Mengkebang, peluang Umno menang lebih cerah kerana selama ini beliau menjadi benteng terakhir untuk Umno bertapak di situ.

Bagi tujuan strategik lebih baik beliau memberi fokus pada DUN Mengkebang dan tugas beliau kini sebagai timbalan speaker DUN Kelantan memancarkan potensi dan masa depan politik beliau  yang kelihatan lebih cerah di peringkat negeri Kelantan.

Selain itu, nama ketua Penerangan Pemuda PAS negeri juga antara nama yang berpotensi dicalonkan. Nazman Che Ibrahim merupakan lulusan ijazah kejuruteraan mekanikal UTM dan dikenali sebagai aktivis di Kelantan, kini menganggotai Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Nama peguam dari Kuala Krai, Hilmi Abdullah juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi. Beliau ialah AJK PAS Kuala Krai dan terlibat dalam Penyelarasan Task Force Kuala Krai.

Populariti dan personaliti politik mereka sesuai dengan situasi di Parlimen Kuala Krai. Cuma disebabkan Abdul Latif sudah dipilih menjadi wakil rakyat Mengkebang, namanya sangat popular di kalangan rakyat.

Nama dua calon selebihnya popular kalangan ahli parti dan disegani parti lawan. Ketiga-tiga calon ini sama-sama kuat kerja dalam parti.

Calon luar PAS

Ketika ini muncul juga nama dua calon PAS dari luar yang bermain di bibir orang politik di Kuala Krai. Nama Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasrudin Hasan Tantawi disebut-sebut.

Ura-ura nama Nasrudin ini sudah lama terdengar. Hujah akar umbi ialah jika Hatta boleh dihantar dari Gombak ke Kuala Krai, mengapa tidak nama calon luar tersebut? Lagipun kawasan Parlimen Kuala Krai ialah kawasan selamat PAS sama seperti kawasan selamat Umno di Felda.

Namun sudah ada ura-ura juga terdapat bantahan daripada akar umbi dan meminta peluang diberikan peluang kepada calon tempatan.

Politik PAS sangat unik di Kelantan kerana di beberapa kawasan tertentu terdapat kawasan Parlimen seperti di Kuala Krai, Kubang Krian dan Pengkalan Chepa seolah-olah disediakan untuk calon luar yang popular dan berjawatan untuk bertanding di Kelantan.

Berdasarkan sentimen semasa di Kuala Krai, PAS mendahului Umno. Namun, PAS tidak boleh selesa dengan sentimen semasa yang berubah-ubah.

Hal ini kerana di Kuala Krai, Umno melalui kerajaan Barisan Nasional telah membawa banyak pembangunan termasuk projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, pembinaan Hospital Kuala Krai bernilai lebih RM300 juta, pembaikan jalan raya dan pembinaan jalan raya berturap.

Malah projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun turut dijangka membawa limpahan pembangunan di Kuala Krai yang boleh menjadi pesona penarik undi buat Umno dalam kalangan penyokong PAS di Kuala Krai

Tiada ulasan: