DETIK DAILY
PETALING JAYA: Satu kajian yang dijalankan sebuah agensi penyelidikan
dunia mendapati rakyat Malaysia skeptikal dengan kandungan dalam talian
kerana hanya 17% pengguna internet di negara ini mempercayai kandungan
dalam media sosial.
Kajian “Connected Life 2017” yang dijalankan Kantar TNS mendapati
rakyat Malaysia menghabiskan 7.2 jam melayari internet setiap hari,
tetapi jenama global menghadapi kesukaran berhubung dengan pengguna
Malaysia yang tidak mempercayai kandungan dalam talian dan ragu-ragu
dengan niatnya.
Kajian yang dijalankan ke atas 70,000 responden di 56 negara bagi
mengkaji kepercayaan pengguna terhadap jenama dari segi teknologi,
kandungan, data dan e-dagang menunjukkan hanya 41% pengguna internet di
Malaysia mempercayai jenama global berbanding 54% di Vietnam.
Keadaan bagaimanapun berbeza di negara lain dalam rantau ini, di mana
59% pengguna internet di Filipina dan 61% responden di Indonesia
mempercayai kandungan dalam talian.
Hampir satu pertiga atau 31% responden bimbang sejauh mana rangkaian
media sosial mempunyai kawalan ke atas kandungan yang dibaca di laman
mereka.
Kajian itu juga menunjukkan rakyat Malaysia berhati-hati dengan data
peribadi yang dikongsi dalam talian kerana 51% responden bimbang jenama
global memperolehi data peribadi mereka berbanding 33% responden di
seluruh Asia Tenggara.
“Jika dibandingkan dengan negara-negara membangun di rantau ini,
pengguna di Malaysia tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca di
internet dan kurang selesa dengan jenama yang mengumpulkan data peribadi
mereka.
“Jenama perlu lebih menonjol dan menunjukkan nilai yang mampu
menambah baik kehidupan pengguna jika mahukan kepercayaan mereka, di
samping memastikan saluran ini digunakan untuk perbincangan lebih
bermakna berkaitan jenama,” kata Pengarah Urusan Kantar TNS Malaysia, MC
Lai dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun kemajuan teknologi memudahkan kehidupan, namun 38% pengguna
internet berusia 16 hingga 25 tahun di Malaysia merasakan mereka terlalu
banyak menggunakan telefon dan tidak mahu berhubung dengan peranti yang
boleh memantau aktiviti mereka, berbanding 15% di Indonesia.
Wang tunai ternyata masih menjadi pilihan rakyat Malaysia, di mana
hanya 29% pengguna internet di negara ini bersedia membeli produk
menggunakan telefon pintar, tetapi 39% enggan berbuat demikian.
“Jadi, penyelesaian inovatif yang memberi kemudahan kepada pengguna
diperlukan sebelum mereka berasa yakin untuk beralih kepada pilihan
pembayaran baru,” kata Kantar TNS.
Ketua Penyelesaian Ketersambungan Global Kantar TNS, Michael Nicholas
menyarankan jenama lebih telus mengenai cara pengumpulan dan penggunaan
data peribadi pelanggan.
“Untuk membina dan melindungi kepercayaan pengguna, jenama perlu
mengutamakan pelanggan meraka. Ini bermakna jenama perlu memahami
motivasi, mengetahui masa yang sesuai untuk berhubung dengan mereka dan
menghormati masa pelanggan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan