Jumaat, 27 Oktober 2017

Jamin Dengan Tukar GST kepada SST Harga Barang Turun?

Malaysian Access

sst harga barang turun


Tiada guna Pakatan Harapan ingin menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) jika tidak berani menjamin bahawa harga barang boleh diturunkan.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beliau berpandangan, beberapa perkara dijangka berlaku jika Harapan berjaya menghapuskan GST.

Menurutnya, dalam Bajet Alternatif 2018 dibentangkan, Harapan berhasrat untuk memansuhkan GST tetapi mengekalkan kadar sifar peratus GST dan melaksanakan semula SST pada kadar lama.

“Sukar memahami bagaimana Pakatan Harapan mahu melaksana sifar GST dan melaksanakan SST pada waktu sama. Apapun kita tahu sebelum ini SSTada beberapa kadar, iaitu kadar standard 10 peratus dan kadar-kadar lain adalah 5 peratus, 20 peratus dan kadar spesifik seperti 58 sen bagi setiap liter petrol dan diesel.

“Apakah kesan yang boleh dijangka jika Pakatan berjaya melaksanakan GSTsifar peratus dan SST 10 peratus, lima peratus, 20 peratus dan 58 sen bagi setiap liter petrol, diesel?

“Ada perkara-perkara yang berkemungkinan besar berlaku iaitu sistem percukaian yang huru-hara kerana terdapat dua sistem, iaitu GST sifar peratus dan SST pada empat kadar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, akan berlaku pengguna dicukai dua kali, misalnya di kedai tayar di mana kali pertama, cukai jualan 20 peratus untuk harga tayar, kali kedua dikenakan cukai perkhidmatan 6 peratus pula.

“Cukai Jualan di ‘mark-up’ bersama harga barangan kerana tiada kaedah ‘tuntutan cukai input’. Jika Cukai Jualan di peringkat pembekal adalah 5 peratus, selepas pengambilan margin 25 peratus oleh pemborong dan 50 peratus oleh peruncit, kadar 5 peratus tadi boleh meningkat menjadi 10 peratus apabila sampai ke tangan pengguna,” katanya.

Selain itu katanya, di bawah SST, petrol dan diesel mempunyai cukai jualan 58 sen seliter dan berlaku ketirisan serta elak cukai jualan di peringkat pembekal, pengilang dan pengeksport.

Malah katanya, ‘Shadow Economy’ dan‘Black Economy’ akan hidup subur kembali.

“Peniaga juga akan membuat perisytiharan palsu cukai pendapatan dengan lebih mudah kerana kerajaan sukar menganggarkan margin keuntungan menerusi sistem SST.

“Selain itu, peniaga boleh menaikkan harga barangan secara melampau dengan lebih mudah kerana apabila cukai input tidak dituntut dan tiada cukai dikutip semasa barangan dijual kepada pengguna, agak susah untuk membuat anggaran margin yang diambil oleh peniaga untuk dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan mengurus akan meningkat kerana bajet Harapan tidak mengambil kira impak sifat peratus GST, di mana bagi barangan dengan kadar sifar GST, cukai inputnya boleh dituntut.

Katanya, tiada pemimpin Harapan yang berani menjamin bahawa harga barang akan turun selepas menghapuskan GST dan kembali kepada kadar lama SST.

“Kalau tiada pemimpin pakatan yang berani menjamin bahawa harga barang akan turun selepas pemansuhanGST dan mengembalikan SST, maka apa gunanya Pakatan beria-ria mahu memansuhkan GST dan kembali melaksanakan SST?,” soalnya.


Tiada ulasan: