Ahad, 15 Oktober 2017

Jamal mohon maaf tak jadi jual ikan di Padang Timur

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar, Athirah Hanapiah dan Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos memohon maaf di atas ketidakhadirannya di Padang Timur hari ini, sambil mendakwa tindakan itu disebabkan mendapat tekanan daripada pihak berkuasa.
 
Perkara itu dimaklumkan salah seorang pembantunya menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada pemberita.
 
“Untuk makluman, Datuk Seri Jamal Yunos memohon maaf kepada semua sahabat-sahabat media, NGO dan penyokong-penyokong kerana tidak dapat turun ke Padang Timur, Petaling Jaya hari ini. 
 
“Ini disebabkan oleh desakan pihak berkuasa yang diterima supaya tidak menghadirkan diri ke lokasi yang diumumkan beberapa kali hari ini,” demikian memetik kenyataan tersebut.
 
Kenyataan itu turut menyebut ikan-ikan yang mahu dijual Jamal sudah disedia untuk dijual di lokasi himpunan.
 
Jamal, dalam reaksi ringkasnya kepada pemberita meluahkan rasa kesalnya atas ketidakhadirannya ke himpunan anjuran pembangkang itu.
 
“Apalah nak jual ikan pun nak kena tangkap. Penat masuk lokap,” ujarnya.
 
Jamal sebelum ini memberitahu beliau akan menyertai himpunan hari ini namun bukan sebagai peserta tetapi penjual yang menjual ikan dengan murah.
 
Jamal berkata beliau bukannya mahu mensabotaj tetapi sekadar menzahirkan bantahannya terhadap himpunan itu.
 
Beliau bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk membuka gerai jualan ikan itu sehingga berlaku perang mulut antara dirinya dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Aziz Md Zain.
 
Mohd Aziz menasihatkan Ketua Umno Sungai Besar itu agar menjual ikannya di pasar namun jika Jamal memohon permit untuk meniaga, pihaknya akan meneliti beberapa aspek terlebih dahulu sebelum memberi kelulusan.
 
Ujar Mohd Azizi, pihak MBPJ boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Jamal ekoran kegagalannya menuruti prosedur dan peraturan, termasuk berdepan dengan tindakan dihalau dari lokasi. 
 
Sementara Jamal berkata tiada keperluan untuknya memohon permit berikutan beliau hanya mahu menjual ikan murah kepada rakyat dalam tempoh dua hingga tiga jam sahaja.
 
 

Tiada ulasan: