Isnin, 30 Oktober 2017

IRF pertikai motif sebalik alasan ‘tauliah’

 
Dr Ahmad Farouk Musa berkata tindakan Jamil Khir Baharom mempertahankan tangkapan Mustafa Akyol menghampiri 'despotisme tahap tertinggi'.


Farouk-Musa-akyol2

PETALING JAYA: Dr Ahmad Farouk Musa hari ini membidas seorang menteri kerana mempertahankan penangkapan seorang penulis warga Turki yang terkenal bulan lepas atas dakwaan tiada tauliah.

Bercakap kepada FMT, Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) berkata tujuan tauliah untuk memastikan guru agama yang mengajar di masjid dan surau layak untuk mengajar.

Tauliah itu juga bagi mengelakkan penyebaran ajaran sesat, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata: “Seseorang akan tertanya-tanya apa motif sebenar sebalik tangkapan itu apabila turut merangkumi mereka yang terlibat dalam perbincangan intelektual berkaitan dengan Islam.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat hari ini berkata penulis Turki, Mustafa Akyol, juga tertakluk kepada syarat itu, iaitu mereka yang mahu bercakap mengenai topik berkaitan Islam mesti mendapatkan tauliah.

“Setiap penceramah yang ingin mengadakan program berbentuk ceramah di Malaysia perlu mendapat kebenaran dan tauliah jabatan agama negeri, majlis agama negeri, atau jabatan mufti negeri berkenaan,” kata Jamil dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Akyol ditangkap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 25 September kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) yang menetapkan penceramah topik berkaitan Islam mesti mendapatkan tauliah, syarat yang lazimnya dikenakan ke atas mereka mahu berceramah di masjid dan surau.

Akyol baru sahaja menyempurnakan jelajah kuliah anjuran IRF.

Akyol bagaimanapun memberitahu FMT beliau terkejut dengan syarat itu kerana beliau tidak pernah mendakwa dirinya mufti atau imam dengan autoriti agama.

“Saya hanya merujuk kepada pandangan lebih liberal dalam tradisi Islam, dari perspektif akademik, dan bahawa itu pun boleh mencetuskan gempar membingungkan saya,” katanya.

Farouk juga dipanggil untuk disoal di pejabat Jawi di bawah akta yang sama.

Beliau memberitahu FMT, kenyataan Jamil di Dewan Rakyat itu “sangat tidak demokratik” dan menghampiri “despotisme tahap tertinggi”.

“Kenyataan itu daripada seorang menteri yang dituduh menggunakan dana zakat untuk selesaikan kos undang-undang dan dana milik anak yatim untuk programnya di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia,” tambahnya.

Tiada ulasan: