Jumaat, 27 Oktober 2017

Intipati pembentangan Bajet 2018

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan Bajet 2018 dengan tema 'Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukrawi Demi Mensejahtera Kehidupan bernilai RM280.25 bilion, lebih RM20 juta berbanding Bajet 2017 yang lalu.
 
Jumlah itu merangkumi RM234.5 bilion untuk pengurusan, manakala RM45.75 bilion lagi bagi belanja pembangunan.
 
Ujar Najib, kerajaan menjangkakan kutipan kerajaan Persekutuan bagi tahun 2018 akan mencecah RM239.86 bilion.
 
Beliau menyifatkan Bajet 2018 sebagai usaha kerajaan terpenting bagi memajukan lagi ekonomi negara.
 
Pelaburan akan menjadi sektor utama memperkasakan ekonomi negara dengan jumlah pelaburan di dalam negara akan meningkat sehingga 6.7 peratus, bersamaan RM260 bilion, dimana sektor swasta akan menjadi sebahagian utama penggerak usaha itu.
 
Berikut adalah antara intipati dalam bajet 2018: 
 
- Rumah mampu milik 
 
*Penyediaan rumah mampu milik menyaksikan sebanyak 83,809 rumah siap telah dibina sehingga akhir Ogos lepas di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan MyBeautiful New Home (MyBNHome).
 
- TEKUN terima RM500 juta
 
*Pemberian itu merupakan antara usaha meningkatkan sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 41 peratus menjelang tahun 2020.
*Peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah RM2.7 bilion yang memanfaatkan hampir 400,000 peminjam.
*RM80 juta di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa melalui Bank Rakyat dan SME Bank sebagai kemudahan pembiayaan kepada usahawan bumiputera luar bandar. 
*RM150 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan SME Corp.
 
- Sektor pertanian
 
*Kerajaan memberi peruntukan paling besar kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, berjumlah RM6.5 bilion.
*RM500 juta diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang.
 
- Pelancongan
 
*Tahun 2020 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM.
*RM2 bilion diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua peratus.
 
- Pelaburan swasta
 
* Terima peruntukan RM260 bilion tahun depan berbanding RM109 bilion.
*RM1 bilion untuk lima koridor utama, melibatkan Wilayah Selatan Perak merangkumi pembangunan PROTON City, Edu City dan U City serta Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.
*Pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali, Kelantan dan jalan akses ke Empangan Balik, Sarawak.
 
- Pengangkutan awam
 
*Peruntukan RM1 bilion kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas serta teksi.
*RM45 juta diperuntukkan bagi mewujudkan sistem biometrik untuk memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres.
*Pulau Pangkor, Perak diisytihar sebagai pulau bebas cukai tetapi tidak termasuk barangan seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.
*Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu akan dinaiktaraf.
 
- Pinjaman PTPTN 
 
Tempoh diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilanjutkan selama setahun hingga 31 Disember 2018. 
*Diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
*Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya separuh daripada baki hutang dalam sekali bayaran;  
*Diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual bayaran balik ditetapkan.
 
- Cukai pendapatan
 
*Pengecualian cukai pendapatan ke atas penerima geran khas Sukuk Green SRI berjumlah RM6 juta.
*Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan fi pengurusan diperluaskan kepada pengurus dana SRI 29 konvensional yang diluluskan mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.
 
- Dana Anak Malaysia 
 
*Kerajaan perkenal Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau ADAM50 yang menjanjikan dana tabungan permulaan sebanyak RM200.
*Setiap anak Malaysia yang lahir antara 1 Januari tahun depan sehingga tahun 2022
*Pemberian dana itu disalurkan menerusi Unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB).
 
- Pendidikan 
 
*RM190 juta bagi menaiktaraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21.
*Dana khas sebanyak RM250 juta untuk pendidikan generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
*RM20 juta turut disediakan kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana).
 
- Universiti Awam 
 
*RM400 juta diperuntukkan untuk geran penyelidikan dan pembangunan kepada universiti awam.
*RM90 juta turut diperuntukkan bagi Program MyBrain untuk 10,600 orang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran.
*RM2.2 bilion akan diperuntukkan bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.
*Penuntut di universiti awam dan swasta serta tingkatan enam pula akan terus diberi Bantuan Baucar Buku bernilai RM250.
 
- Potongan cukai majikan 
 
*Potongan cukai tambahan bagi majikan menggaji orang kurang upaya (OKU) diperluaskan kepada majikan menggaji pekerja yang mengalami kemalangan atau penyakit kritikal.
 
- Sukan
 
*Peruntukan RM1 bilion kepada pembangunan sukan.
*Pembinaan 14 kompleks sukan baru di seluruh negara yang membabitkan kos bernilai RM112 juta.
*RM20 juta kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan premier
*RM50 juta bagi pembinaan Akademi Bola Sepak Fasa II di Gambang, Pahang.
*RM122 juta bagi membina dan menaik taraf fasiliti sukan termasuk kompleks belia dan sukan negeri, kompleks Futsal 1Malaysia dan Kompleks Sukan Komuniti.
*RM70 juta bagi Program Pembangunan Podium Sukan Elit untuk penyediaan atlet ke temasya sukan antarabangsa.
*RM54 juta bagi Program Pembangunan Ahli Sukan termasuk Program Penyediaan Atlet dan Program Penyediaan Atlet Paralimpik.
 
- TVET 
 
RM4.9 bilion untuk melaksana pelan induk Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
*Menggalakkan lepasan TVET melanjutkan pengajian, kerajaan menyediakan 100 Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET dengan peruntukan RM4.5 juta.
 
- Masyarakat India
 
*1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia akan diagihkan untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.
*RM500 juta diperuntukkan untuk tempoh lima tahun bagi satu skim pinjaman pelaburan khas yang akan ditawarkan kepada 100 ribu isi rumah daripada golongan B40 masyarakat India, terhad kepada 5,000 unit setiap peserta.
 
Hak wanita
 
*30 peratus wanita dalam keahlian lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun, sebelum akhir tahun 2018.
*Tempoh cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta dinaikkan daripada 60 hari ke 90 hari seperti yang dilaksanakan perkhidmatan awam.
*RM20 juta untuk program latihan dan keusahawanan wanita antaranya PEAK Entrepreneur Programme di bawah MyWin Academy.
*Pengecualian cukai pendapatan individu disediakan ke atas pendapatan yang diperoleh dalam tempoh 12 bulan berturut-turut kepada mereka selepas tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berhenti daripada pekerjaan. 
 
- SL1M 
 
*RM40 juta untuk meneruskan Program temuduga terbuka oleh unit Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).
*Syarikat swasta yang mendapat kontrak kerajaan diwajibkan memperuntukkan satu peratus daripada nilai projek kepada SL1M.
 
- Bantuan sekolah
 
*RM500 juta buat sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia serta masing-masing RM1 bilion di Sabah dan Sarawak.
*Peruntukan baiki hampir 2,000 sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif, seperti bumbung yang bocor, lantai yang rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti melalui kaedah ‘Industrial Building System’.
*RM2.9 bilion pula diperuntukkan untuk bantuan makanan, buku teks, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan.
*Bantuan Persekolahan RM100 seorang kepada murid sekolah berpendapatan rendah diteruskan.
 
- Mansuh tol 
 
*Pemansuhan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor bermula 1 Januari tahun depan.
 
- BR1M 
 
*Sebanyak tujuh juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan terus menikmati pemberian kerajaan ini dengan kadar maksimum sehingga RM1,200 ringgit pada tahun depan.
 
- Kos pembantu rumah
 
*Kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa hadapan.
*Beri pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa melalui ejen.
*Majikan boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara online dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.
 
- SSP1M
 
*RM250 juta yang disediakan kepada 500 ribu pencarum berumur tujuh hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dijenamakan semula sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia (SSP1M).
 
- Infrastruktur luar bandar
 
*RM6.5 bilion disediakan kerajaan untuk infrastruktur asas utama di luar bandar 
*RM2 bilion disediakan untuk projek Lebuhraya Pan-Borneo termasuk 11 pakej pembinaan di Sarawak dan lima di Sabah.
*RM1.1 bilion untuk projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu jalan kampung, surau serta pasar.
 
- Bonus penjawat awam
 
*Bayaran khas sebanyak RM1,500 akan diberikan kepada semua penjawat awam.
*Bayaran khas kepada pesara sebanyak RM750.
 
- Felda dapat durian runtuh
 
*Enam insentif utama diumumkan kepada lebih 112,000 ribu peneroka.
*Insentif Khas Peneroka bernilai RM5,000 dan pengembalian wang SES oleh peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit, dari tahun 2010 hingga 2016.
*RM60 juta juga disediakan untuk program tanaman semula sawit dan RM164 juta diperuntukkan bagi membina lima ribu unit Rumah Generasi Kedua Felda, dengan kerjasama SPNB.
 
 

Tiada ulasan: