Isnin, 30 Oktober 2017

Hentikan dramamu Mahfuz dan kawan-kawan

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memang wajar melakukan sujud syukurnya kerana PAS jelas tidak mahu mencalonkannya bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak. 
 
"Saya sujud syukur kerana tidak dicalonkan sebagai calon PAS pada pilihan raya akan datang. Malah, sebaliknya kalau dicalonkan pun pasti saya akan menolak. 
 
"Bila dah diberitahu saya tidak dicalonkan maka saya sujud syukur yang teramat sangat kerana saya tidak mahu dilihat menjadi calon yang akhirnya mengkhianati negara dan rakyat. 
 
“Saya tidak mahu menjadi calon yang mewakili PAS yang tidak dilihat (bersungguh) untuk mengambil alih negara," katanya.
 
Mahfuz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengesahkan PAS tidak akan mencalonkannya lagi mewakili parti itu dalam PRU akan datang.
 
Malah beliau memberi peringatan kepada Mahfuz supaya keluar PAS berikutan tindak tanduknya yang cenderung menyokong Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP.
 
Mohd Amar berkata, selain Mahfuz, mana-mana pemimpin PAS lain yang secara terbuka menentang parti turut tidak akan dicalonkan dalam PRU14.
 
“Saya beritahu terus terang, Mahfuz tidak akan bertanding lagi. Mereka yang menentang PAS tidak akan dicalonkan lagi. Itu pendirian kita. Kita akan ganti dengan calon yang lebih baik menggantikannya (Mahfuz) di Pokok Sena,” katanya.
 
Mahfuz ajak ahli PAS menjadi sepertinya
 
Sabtu lalu Mahfuz bersama tiga lagi ADUN PAS iaitu Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Nasir Mustapa (Kubang Rotan) dan Dr Syed Azman Syed Nawawi (Batu Burok) menghadiri Konvensyen Nasional 2017 Amanah di Alor Setar, Kedah.
 
Penyertaan mereka dilihat sebagai satu “provokasi” terhadap pemimpin dan penyokong PAS yang menganggap parti Amanah sebagai “seteru politik” PAS kerana secara terbuka mengisytiharkan mahu “mahu menggantikan PAS” dalam persada politik Malaysia.
 
Malah Mahfuz menjelaskan bahawa tindakan mereka yang “kurang wala” pada pemikiran dan halatuju kepimpinan PAS itu, adalah untuk menggalakkan ahli-ahli PAS “tidak perlu keluar PAS bagi menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH)”.
 
Yang menjadi persoalannya, jika keempat-empat wakil rakyat yang memenangi kerusi mereka dalam PRU ke 13 lalu melalui tiket PAS kini berasa sudah mendapat “petunjuk” bahawa PAS bukan parti sesuai untuk mereka, mengapa masih perlu bernaung dalam PAS?
 
Mereka ingkar pada halatuju PAS dan sebaliknya meraikan seteru politik PAS seraya menghasut pula ahli PAS supaya menyokong PH. Sudah tentu ini satu kepetualangan perjuangan yang nyata.
 
Adakah tindakan mereka di Alor Setar Sabtu lalu sebenarnya cabaran terhadap kepimpinan PAS dengan memperli apakah tindakan yang PAS boleh ambil terhadap mereka? 
 
Mahfuz dan rakan tidak gerun dosa pahala?
 
Selain itu gelagat mereka juga mencerminkan niat menghina kepimpinan PAS seolah-olah mahu mempersendakan ideologi politik matang dan sejahtera PAS! Jika mereka jujur dan bermaruah, lebih elok isytihar diri keluar PAS.
 
Jika ini bukan melambangkan insan-insan yang kurang prinsip perjuangan, apakah namanya? Mereka menikam PAS dari belakang bak musuh dalam selimut. 
 
Jika benar mereka pejuang Islam, sepatutnya mereka gerun rezeki dan kedudukan sebagai wakil rakyat PAS yang mereka nikmati sejak Mei 2013, adalah garis dosa bagi mereka.
 
PAS tidak makan “umpan provokasi” wakil-wakil rakyat yang tidak bersyukur ini. Sebab itu PAS segera mengisytiharkan “musuh-musuh” ini tidak akan dipilih sebagai calon PAS lagi.
 
Maka timbul persoalan: Jika ada parti lain dari PH, tidak kira PKR, Amanah atau DAP ingin mencalonkan Mahfuz dan kawan-kawannya itu bertanding PRU 14, bersediakah mereka menerimanya?
 
Jawapan ini perlu diumumkan segera seperti keterbukaan PAS mengumumkan mereka tidak mungkin menjadi calon parti itu lagi. 
 
Sejak parti Amanah ditubuhkan dua tahun lalu, keempat-empat “pemberontak” ini menyorok dalam saf PAS. Tiba masanya mereka mempamerkan kelelakian masing-masing.
 
Justeru, tidak hairanlah mereka ini dicap sebagai “pengkhianat”. Menurut pemimpin-pemimpin Amanah parti mereka memang ditubuhkan untuk menggantikan PAS, maka hipokritlah Mahfuz dan kawan-kawannya masih berteduh dan mencari nafkah dari menjadi “wakil rakyat PAS” tetapi bergerak ‘untuk mengkuburkan’ PAS.
 
Munculnya Mahfuz dan kawan-kawannya di konvensyen Amanah 2017 adalah bak menyertai pesta kurang bergemerlapan. Selepas dua tahun ditubuhkan Amanah masih payah berdikari dan bergantung pada pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mahathir untuk melambai sokongan. 
 
Gelagat pemimpin-pemimpin Amanah juga kurang berhasil menarik sokongan kerana masih  bergelumang dalam retorik politik tanpa inisiatif membentangkan syor bagaimana mahu mendaulatkan Islam dan memelihara kepentingan Melayu. 
 
Mereka hanya mengekori omong PKR dan PPBM yang memang masih merengek terlepas peluang mahu berkuasa. PKR masih jengkel kehilangan pemimpin agung mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara.
 
Walhal yang memulakan kezaliman ke atas Anwar ialah orang yang kini ghairah mahu menumbangkan perdana menteri yang amat dicemburuinya “kerana tidak mahu akur pada hemah dan kebijaksanaannya memerintah negara”.
 
Mahfuz dan kawan-kawan “perisiknya” tidak perlu berpura lagi. Mereka bukan sayang pada PAS malah mendedaki diri dengan kesumat mahu menghancurkan PAS. Rakyat memerhati. 
 
Pilihan mereka ialah di antara PAS yang zuhud mahu Islam mekar di bumi ini dan bukan mahu terus mencari nama dan kuasa berbanding Mahfuz dan rakan komplotnya yang hanya mahu berkuasa di negara ini.
 
 

Tiada ulasan: