Selasa, 3 Oktober 2017

Hamidah lapor SPRM tuduhan Syed Saddiq

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
IPOH: Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hamidah Osman hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa menuduhnya ejen Umno.
 
Hamidah berkata walaupun tidak dinyatakan secara jelas, namun beliau percaya tuduhan itu dilemparkan terhadapnya terutama membabitkan habuan bernilai RM5 juta yang didakwa kononnya cuba disogokkan kepada Syed Saddiq.
 
Katanya tuduhan yang dibuat Syed Saddiq itu nyata tidak berasas dan sengaja dilakukan bagi meraih kepentingan politik, seperti yang dilaporkan sebuah agensi portal berita.
 
“Walaupun saya tak boleh jelaskan secara lanjut sepertimana dinasihatkan SPRM, namun saya berharap siasatan secepat mungkin dapat dibuat.
 
“Saya juga tidak pernah tahu mengenai wang RM5 juta itu tapi dalam kenyataan Syed Saddiq ia semacam ditujukan pada saya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM Perak di sini.
 
Semalam, Syed Saddiq menjelaskan ada cubaan daripada seseorang di luar Pakatan Harapan (PH) menyogoknya dengan wang bernilai RM5 juta sekiranya meninggalkan PPBM selain mendakwa dijanjikan dengan peruntukan untuk membuka sekolah debat di seluruh negara.
 
Menjelas lanjut, Hamidah berkata laporan kepada SPRM dibuat bagi membolehkan satu siasatan telus dijalankan agar dapat membongkar perkara sebenar.
 
“Saya mahu membersihkan nama saya dan pada masa yang sama mahu perkara benar serta adil ditegakkan pihak SPRM,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: