Selasa, 10 Oktober 2017

Guan Eng dakwa arahan ROS mahu menyusahkan DAP

MALAYSIA GAZETTE
Lim Guan Eng mendakwa arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu juga hanya akan menjejaskan persediaan parti berkenaan yang kini rancak membuat persiapan serta persediaan bagi berdepan PRU-14.


PULAU PINANG – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa arahan supaya parti itu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sengaja bertujuan menyusahkan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menurut beliau, arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu juga hanya akan menjejaskan persediaan parti berkenaan yang kini rancak membuat persiapan serta persediaan bagi berdepan PRU-14.

Begitupun, kata beliau, DAP akan tetap mematuhi arahan ROS itu bagi membuktikan parti berkenaan tidak takut untuk berdepan pemilihan semula CEC.

“Dalam keadaan sekarang, kita berasakan arahan supaya mengadakan pemilihan semula ini bukan secara kebetulan, tetapi sengaja untuk menyusahkan dalam keadaan kita sedang rancak membuat persiapan dan persediaan menghadapi PRU-14.

“Namun kita bersedia mengadakan pemilihan semula parti itu berdasarkan senarai nama perwakilan 2012,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar semalam, Guan Eng mengumumkan parti itu akan mematuhi arahan ROS supaya mengadakan semula pemilihan CEC yang akan dibuat pada 12 November ini di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, Selangor.

Pemilihan itu perlu diadakan semula selepas ROS tidak mengiktiraf pemilihan CEC yang dibuat DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, pihaknya memutuskan pemilihan semula CEC perlu diadakan bagi mengelak DAP diharamkan dan dibatalkan pendaftaran yang boleh menyebabkan parti tersebut tidak dapat bertanding pada PRU-14.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua perwakilan DAP seperti senarai pada 2012 dapat menghadiri pemilihan semula berkenaan sekali gus memastikan parti berkenaan kekal bertanding. –  MalaysiaGazette


Tiada ulasan: