Ahad, 22 Oktober 2017

Gobind mahu polis umum perkembangan kes KP SPRM

 
Gobind berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun perlu menjelaskan sama ada polis telah menentukan kesahihan klip video yang menular di media sosial.


gobind-dzulfkifli-ahmad


PETALING JAYA: Ketua biro perundangan DAP, Gobind Singh Deo mahu pihak polis mengumumkan perkembangan siasatan berhubung dakwaan hubungan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad dengan seorang wanita yang telah berkahwin di Bali.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun perlu menjelaskan sama ada polis telah menentukan kesahihan klip video yang menular di media sosial.

“Ini adalah salah 1 kes di mana polis mesti bertindak tanpa sebarang kelewatan. Mereka mesti menentukan fakta (kes),” kata beliau.

“Ini adalah demi kepentingan setiap orang yang terlibat dalam siasatan dan dalam kes ini, mungkin yang paling penting, SPRM,” kata Gobind.

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, beliau berkata, cara terbaik untuk membantu menyelesaikan siasatan adalah dengan mendapatkan keterangan daripad Dzulkifli sendiri.

“Adakah polis memanggil beliau untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan ini?” kata beliau.

Dzulkifli didakwa terlibat dalam tuduhan itu selepas video menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan pegawai kanan SPRM bercuti dengan seorang wanita di Bali.

Pada 13 Oktober, Fuzi berkata siasatan sedang dijalankan mengenai perkara itu selepas laporan dibuat oleh eksekutif pemasaran.

Gobind berkata fakta asas kes itu sepatutnya telah disahkan sekarang.

“Dengan hormat, kita tidak boleh duduk diam dan kekal senyap susulan pendirian peguam negara,” kata beliau.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara akan mengetuai pasukan khas bagi memantau siasatan ke atas dakwaan Dzulkifli terbabit dengan skandal bersama seorang wanita di Bali.

Tanpa menyebut individu yang terlibat, Apandi berkata pasukan itu adalah bahagian yang paling tinggi dan mengetuai segala siasatan terutamanya siasatan polis di seluruh negara.

Pejabat Peguam Negara pada 16 Oktober lepas telah menubuhkan pasukan khas bertujuan memantau secara rapi siasatan ke atas Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan berkaitan.

Mohamed Apandi turut mengulas sesetengah pihak yang menyalahertikan konsep kewujudan pasukan khas itu.


Tiada ulasan: