BENARKAH DAP kini dikatakan mula terasa dengan ketiadaan PAS dalam gabungan Pakatan Harapan (PH)?
Ini ekoran kegagalan mereka untuk
menarik sokongan rakyat terutama orang Melayu hadir ke perhimpunan
anjuran Pakatan Harapan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Jika sebelum ini, himpunan yang
dianjurkan pembangkang di bawah Pakatan Rakyat dihadiri ramai penyokong
PAS sekali gus memperlihatkan himpunan diadakan mendapat sokongan
rakyat.
Adakah PAN, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal mendapatkan sokongan orang Melayu seperti dilakukan PAS?
Jika benar, sudah tentu DAP merasakan PAN, PKR dan PPBM kurang memberikan impak dalam menarik sokongan orang Melayu.
Adakah itu faktor yang menyebabkan DAP kini buntu mencari pengganti PAS dalam Pakatan Harapan?
Parti Melayu mana lagi yang boleh diharapkan DAP untuk mendapatkan sokongan orang Melayu?
Masa kian suntuk menjelang beberapa bulan lagi sebelum diadakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Namun DAP terus termanggu-manggu untuk
mengenal pasti rakan strategik daripada parti Melayu mana yang
berwibawa untuk menarik sokongan pengundi Melayu.
Selepas himpunan Sabtu lalu gagal dengan
hanya mencatat kehadiran kira-kira 4,000 orang berbanding 100,000 yang
diuar-uarkan Presiden PAN, Mohamad Sabu sebelum ini, ia dikatakan
membuatkan DAP semakin resah dengan situasi itu.
Jadi, DAP kini pastinya sudah mencongak peluang tipis pakatan itu untuk menerobos kawasan-kawasan majoriti Melayu.
Kalau kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri di kawasan Felda yang dikatakan mahu diagihkan kepada
PPBM, ada jaminankah parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan
‘bungkus awal’ sebelum masuk gelanggang?
DAP usahlah pula membandingkan himpunan Fastaqim anjuran PAS di Kuala Terengganu dua minggu lalu yang mencatat 250,000 hadirin.
Jika hendak dibandingkan, memang ibarat langit dan bumi dengan himpunan haram di Padang Timur itu.
Sepatutnya DAP lebih realistik. Semasa
Mahathir membacakan ‘ikrar’ pakatan itu untuk menghapuskan rasuah
menjelang 2030 serta menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) sebagai badan bebas yang melaporkan terus kepada Parlimen, siapa
yang berada di sebelah pengerusi pakatan itu?
Bukankah Kit Siang yang anaknya, Lim Guan Eng sedang menunggu pendakwaan rasuah di mahkamah.
Walaupun didesak berulang kali supaya
Guan Eng bercuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sementara kes
pengurusan rasuahnya disebut di Mahkamah Tinggi di Georgetown pada 14
November depan, DAP dan Kit Siang buat tuli dan tidak tahu sahaja.
Guan Eng, 57 tahun, mengaku tidak
bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status
tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot
tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di Georgetown di bawah nilai
pasaran.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.
Sementara ahli perniagaan Phang Li Koon
pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan
bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng
berhubung pembelian banglo itu.
Adakah rakyat tidak nampak dengan permainan Kit Siang dan DAP ini?
Isu perjuangan rasuah yang ditonjolkan oleh Mahathir pun seolah-olah meludah ke langit, akhirnya terkena batang hidung sendiri.
Bukankah ada dalam satu rakaman
berdurasi selama 1 minit 15 saat, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam
satu ceramah pernah menceritakan mengenai kekayaan anak-anak Mahathir
iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani yang turut tersenarai antara orang
terkaya di Malaysia.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan
turut mendakwa, anak-anak bekas Perdana Menteri itu merupakan tauke arak
apabila kekayaan dikaut selama ini membolehkan mereka membeli kilang
arak di Filipina.
Bagaimana pula dengan hasil prosiding
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung nilai sebenar kerugian Bank
Negara Malaysia (BNM) akibat dagangan forex era 1990-an semasa
pentadbiran Mahathir?
Himpunan haram di Padang Timur
menyerlahkan betapa DAP tidak boleh lagi mengharapkan PAN dan PPBM
sebagai galang ganti PAS untuk menarik sokongan pengundi Melayu.
Padahal DAP kononnya sudah cukup gah dengan sokongan penyokong Cina tegar mereka.
Kalau diteliti secara serius, macam
manalah orang Melayu hendak bersandar kepada parti Melayu dalam Pakatan
Harapan kalau usaha untuk menegakkan syiar Islam pun dibantah oleh
ketua-ketua mereka.
Contoh paling dekat dengan orang Melayu
ialah apabila PAN dan PPBM selain PKR cuba menghalang pelaksanaan
hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965, pindaan Rang Undang-Undang (RUU 355) sebelum ini.
Ini disifatkan oleh Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh
diizinkan oleh umat Islam.
Jadi, apa sebenarnya peranan utama PAN, PKR dan PPBM dalam Pakatan Harapan?
Tentu DAP kini berada dalam dilema bagi mendapatkan sokongan Melayu menjelang PRU-14 akan datang.
PAS telah pun memutuskan hubungan parti itu dengan DAP dan semua parti gabungan dalam Pakatan Harapan.
Adakah DAP akan memujuk kembali memujuk PAS bukan untuk menyertai Pakatan Harapan tetapi bersama Pakatan itu pada PRU-14?
Ini tidak mustahil berlaku, kerana DAP kini sedang berusaha bagi memastikan orang Melayu menyokong Pakatan Harapan.
DAP pastinya tidak akan berputus asa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan