Rabu, 11 Oktober 2017

Bom lama punca letupan di tapak pembinaan MRT

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Letupan di tapak pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Bandar Malaysia semalam berpunca daripada peninggalan bom lama ketika zaman Perang Dunia Kedua.
 
Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh. 
 
“Hasil siasatan awal mendapati ia merupakan bom lama ketika Perang Dunia Kedua, dan bom berkenaan meletup secara tiba-tiba ketika kerja pembinaan sedang dijalankan,” katanya.
 
Dalam kejadian kira-kira 5.00 petang itu, tiga pekerja warga Bangladesh cedera parah dan dua daripadanya putus kaki manakala seorang lagi pekerja cedera di tangan serta kaki.
 
Ketiga-tiga pekerja berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
 
Sementara itu, sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.23 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
 
Beliau berkata seramai 25 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Pudu dan Tun Razak dikejarkan ke tempat kejadian.
 
 

Tiada ulasan: