Rabu, 25 Oktober 2017

Belanjawan Alternatif PH ulangi janji mansuh GST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan Belanjawan Alternatif 2018, dua hari sebelum kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan Bajet 2018 Jumaat ini.
 
Bertemakan 'Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan', pembangkang bagaimanapun masih mengitar janji lama untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), cukai yang mula dilaksanakan kerajaan pada 2015. 
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan belanjawan alternatif itu sebagai peringatan kepada kerajaan, bahawa hasrat mereka menghapuskan GST itu sebagai usaha membantu pengguna.
 
“Niat kami adalah untuk mengembalikan RM25.50 bilion ke dalam ekonomi dan membantu meringankan situasi suram ekonomi bagi semua orang.
 
"Sesungguhnya kami percaya kejayaan masa depan negara ini bergantung kepada persaingan idea dan dasar aktif dan terbuka.
 
"Menggaris semua dasar ekonomi adalah idea teras iaitu, kejayaan ekonomi hanya dapat dicapai dan dikekalkan dengan tadbir urus yang baik dan demokrasi yang lebih menyeluruh dalam bidang politik," katanya ketika pembentangan Belanjawan Alternatif Malaysia 2018, tengah hari tadi.
 
Belanjawan pembangkang berjumlah RM258.52 bilion itu memberi peruntukan lebih tinggi bagi pembangunan, serta defisit yang rendah jika dibandingan Bajet 2017 yang dibentangkan Barisan Nasional (BN).
 
Belanjawan pembangkang juga berdasarkan nisbah 23:77 untuk pembangunan dan pentadbiran, berbanding BN pada tahun ini dengan nisbah 20:80.
 
Ia juga merangkumi dua tujuan sebagai dokumen fiskal 2018 dan juga manifesto pembangkang dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
"Kita mungkin akan menghadapi PRU dalam tempoh enam bulan selepas penerbitan dokumen ini. Sejak empat dekad lalu, tawaran BN kepada orang awam telah menjadi pertukaran sekatan politik sebagai balasan untuk keperluan material," katanya.
 
Selain itu, pembangkang juga mahu mengurangkan subsidi minyak kepada rakyat kerana Malaysia ialah pengeluar minyak.
 
“Untuk itu kami mencadangkan subsidi minyak sekitar RM1 bilion pada 2018.
 
“Ini bermakna pengurangan 20 sen seliter untuk sejumlah 5.4 bilion liter petrol bersubsidi," ujarnya.
 
Dalam usaha mengurangkan subsidi juga, PH juga tidak akan mengembalikan subsidi gula atas faktor kesihatan.
 
Walaupun pembangkang mengkritik Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang didakwanya sebagai 'gula-gula' kepada rakyat, PH memberi jaminan BR1M akan dikekalkan jika mereka menang dalam pilihan raya.
 
Wan Azizah mengakui bantuan sedemikian mampu membantu mereka yang kurang berkemampuan, namun menggalakkan juga penerimanya meningkatkan produktiviti mereka.
 
“Contohnya kami mungkin akan memberikan bayaran BR1M, bersyarat penerimanya mesti bekerja dan kekal bekerja sekurang-kurangnya tiga bulan," ujarnya dengan menambah penerima BR1M menggunakan bantuan kewangan itu untuk perbelanjaan seisi keluarga, seperti membayar bil utiliti dan pendidikan.
 
Di samping itu juga Belanjawan Alternatif 2018 menyentuh pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan cuti bersalin selama 120 hari serta paras gaji setara kepada kakitangan wanita.
 
Wan Azizah juga berkata pembangkang akan mengamalkan penjimatan sehingga RM20 bilion dalam dasar hapus rasuah mereka, malah bertekad untuk menghapuskan campur tangan politik dalam pengurusan Felda.
 
Selain memperuntukkan dana pembangunan sebanyak RM75 bilion untuk Sabah dan Sarawak, PH juga mendakwa ia mampu menghapuskan tol dengan membeli konsesi lebuh raya selain mengulangi semula janji mereka untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar dan membantu mereka yang berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
 
 

Tiada ulasan: