Ahad, 22 Oktober 2017

Bajet 2018: Kerajaan dijangka umum perkara menarik mengenai PTPTN

MALAYSIA GAZETTE
Johari Abdul Ghani
 
 
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan sesuatu yang menarik berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt ini. 
 
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan sudah mengambil maklum tentang harapan dan cadangan yang diajukan oleh PTPTN untuk dibentangkan dalam bajet berkenaan.

“Kita sudah maklum soal itu dan telah bincangkannya sama-sama kita nantikan nanti apakah berita baik yang boleh diberikan kepada PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 480 murid tahun satu pada Mini Karnival PTPTN bersama masyarakat Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini.

Setiap murid daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah kumpulan B40 menerima sumbangan RM50 dan RM50 tambahan akan diberikan oleh kerajaan melalui PTPTN sebagai insentif khas Geran Sepadan yang telah diumumkan dalam Bajet 2017.

Johari berkata kerajaan juga akan memastikan pelepasan taksiran cukai diteruskan bagi ibu bapa yang membuat penabungan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional iaitu SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Katanya setakat ini, ibu bapa yang membuat penabungan SSPN akan diberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 setahun.

Menurut Johari sehingga kini, kadar dividen yang diberikan pernah mencecah 4.25 peratus iaitu lebih tinggi daripada yang ditawarkan bank komersial.

Sehingga 30 Sept lepas, kira-kira 3.1 juta akaun dibuka di bawah SSPN dengan jumlah deposit RM2.94 bilion, katanya.— BERNAMA

Tiada ulasan: