Selasa, 10 Oktober 2017

Apabila Shahrir Samad tegur Khalid Samad

MALAYSIA GAZETTE
Shahrir Samad.


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berasa keliru dengan kenyataan adiknya Khalid Samad yang memintanya untuk bersara dan tidak bertanding semula di Johor Bahru dalam pilihan raya dengan mengambil kira “trend semasa.”

Shahrir sebaliknya meminta Parti Amanah Negara (PAN) untuk tidak bertanding selepas mengalami kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Sarawak.

Mengenai “trend semasa” yang dibangkitkan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Shahrir berkata, adiknya itu harus meminta tunjuk ajar daripada abang yang merupakan seorang ahli strategi untuk mengetahui “trend semasa.”

“Tidak kira politik atau trend semasa, kami serah kepada rakyat. Walaupun undi majoriti saya menurun, ini pilihan rakyat juga,” katanya.

Shahrir yang juga Pengerusi Felda dipetik China Press semasa pertemuan dengan media berbahasa Cina.

Ditanya sama ada Khalid harus bertapak di Selangor atau berpindah ke Johor, Shahrir memberi jawapan seperti berikut.

“Setiap parti mempunyai strateginya, tetapi jika parti itu tetap kalah di mana-mana sahaja, maka tiada bezanya untuk ia bertanding di mana-mana pun.”

Shahrir juga menegur Khalid kerana tidak mempunyai prinsip politik apabila menubuhkan parti baharu selepas kecundang dalam pemilihan Pas.

Sementara itu, Shahrir berkata, penjualan aset Felda di London tidak bermakna organisasi itu sedang berdepan masalah kewangan.

Jelasnya, keputusan perniagaan itu merupakan cara biasa untuk tujuan aliran tunai.

Menurutnya, ramai pihak yang berebut mahu menjadi “juruselamat Felda” tanpa menyedari bahawa masalah yang dihadapi telah pun diselesaikan oleh dirinya yang merupakan pengerusi baharu Felda.

Katanya, selain menyusun semula pengurusan atasan Felda, satu lagi kerja yang dilaksanakan ialah mewujudkan aliran tunai yang sihat untuk organisasi itu.


Tiada ulasan: