Rabu, 18 Oktober 2017

Anggun mengaku tidak bersalah tipu duit bina rumah

THE MALAYSIAN TIMES
 


KANGAR: Seorang ahli perniagaan Siti Nurbaiyah Yahya atau ‘Anggun’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menipu seorang individu, berhubung pembinaan sebuah rumah bernilai RM30,000 dua tahun lepas.

Anggun, 42, seorang daripada beberapa individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan jualan rumah banglo oleh DBI Properties (DBI) dan Juta Kelulut Global Resources membabitkan kerugian mencecah RM6.8 juta, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Ibu tunggal itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Lorong Gonchar 2, Jalan Datuk Ali di sini, pukul 5 petang pada 23 Dis 2015.

Mengikut pertuduhan, Anggun didakwa memperdayakan mangsa lelaki berusia 51 tahun untuk menyerahkan RM30,000 kononnya sebagai kos pembinaan sebuah rumah di atas tapak tanah sendiri.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Lokman Hakim.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000, bagaimanapun Mohd Azhar membenarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Azhar juga menetapkan kes disebut semula pada 23 Nov.— BERNAMA

Tiada ulasan: