Jumaat, 13 Oktober 2017

Ahli PAS bantu uruskan jenazah Kassim Ahmad, keluarga hargai

 
Ia di sebalik beberapa komen di media sosial yang mempersoalkan status Islam beliau kerana mempersoalkan hadis sebagai sumber utama Islam.


Ahli kariah masjid dan beberapa pemuda memakai baju PAS turut serta dalam pengebumian jenazah Kassim Ahmad, Selasa lalu.
Ahli kariah masjid dan beberapa pemuda memakai baju PAS turut serta dalam pengebumian jenazah Kassim Ahmad, Selasa lalu.


PETALING JAYA: Keluarga Kassim Ahmad yang meninggal dunia Selasa lalu menghargai beberapa aktivis PAS dan kariah masjid di kawasan kediamannya yang membantu dalam pengurusan jenazah tokoh pemikir kelahiran Kedah itu.

Ahmad Shauqi Kassim, berkata jenazah bapanya diuruskan dengan begitu baik dan sempurna.

“Saya kurang pasti siapa yang membantu. Mereka tidak beritahu mereka dari mana dan saya tidak kenal mereka, sama ada orang PAS atau siapa. Tapi semasa mereka memandikan arwah dengan begitu baik, saya tengok mereka buat rapi dan bersih dan muka arwah tenang dan cantik.”

Kassim-Ahmad,-PAS,-urus-jenazah2

Sebelum ini, beberapa komen pengkritik Kassim di media sosial cuba membangkitkan pandangan kontroversi Kassim mengenai kewibaaan hadis sebagai sumber Islam.

Sebuah kumpulan Whatsapp disertai beberapa agamawan, yang dilihat FMT, turut mempersoalkan status keIslaman Kassim.

Tidak terkecuali ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, yang memuat naik komen kecil mengenai kepentingan hadis sebagai rujukan dalam pengurusan jenazah Islam, walaupun beliau tidak membuat rujukan secara khusus terhadap Kassim.

Muat naik itu mengundang kritikan beberapa pengguna Facebook, yang menyifatkan komen Asri itu sebagai menyindir Kassim.

Bercakap kepada FMT, Shauqi berpuas hati dengan penghormatan yang diberikan orang ramai di Masjid Al-Huda Kelang Lama, Kulim, di mana jenazah Kassim disembahyangkan.

“Sepanjang pengurusan jenzah juga tidak ada suara yang mempersoalkan (status Islam Kassim Ahmad),” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Asri memuji ahli jawatankuasa masjid termasuk mereka yang berpakaian kemeja PAS menguruskan jenazah penulis veteran itu.

“Walaupun apapun perbezaan pendapat, namun tindakan unit amal PAS Negeri Kedah semalam menguruskan jenazah tokoh sastera dan penulis yang ternama Kassim Ahmad wajar dipuji.

“Ia satu tindakan terhormat,” tulis Asri yang turut memuji mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

“Pandangan dan keputusan beliau yang menyelesaikan masalah,” katanya.

Sementara itu, seorang penyokong PAS ketika dihubungi FMT mengesahkan kebanyakan mereka yang menguruskan jenazah Kassim adalah ahli jawatan kuasa dan penyokong dari PAS cawangan Kelang Lama, Kulim.

“Saya imamkan solat jenazah beliau, dan pengurusan yang lain diurus oleh pihak Masjid Kelang Lama.

“Di tanah perkuburan juga, kebanyakan mereka adalah AJK PAS cawangan,” kata Hasrul Nisam Asaari, yang juga timbalan pengerusi masjid.

Beliau berkata sepanjang proses pengurusan jenazah, tiada bantahan mana-mana pihak kerana menerima Kassim masih Islam walaupun berbeza pandangan tentang hadis.

“Kami anggap beliau masih Islam sebab beliau tidak pernah umum keluar Islam dan imam juga memaklumkan benda sama setelah mendapat pegesahkan daripada majlis fatwa dan jabatan mufti.
Jadi kita urus macam biasa tanpa ada sebarang keraguan yang timbul,” katanya.

Sementara itu, AJK Pemuda PAS Kedah, Naqai Hassan memuji usaha ahli PAS di kawasan itu.

“Mereka membantu menguruskan jenazah sampai ke liang lahad,” katanya.

Kassim meninggal dunia pagi 10 Oktober, selepas terlantar di Hospital Kulim dalam keadaan koma susulan rawatan jangkitan paru-paru dan injap jantung bulan lalu.

Beliau merupakan antara aktivis veteran sosialis di Malaysia, dan pernah memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia bersama Dr Syed Hussin Ali, lama sebelum parti itu bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi PKR.

Beliau juga pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 5 tahun (1976-1981).

Kassim terkenal dengan karya “Hadis: Satu Penilaian Semula”, sebuah kajian kritikal ke atas kewibawaan hadis sebagai sumber Islam, yang diharamkan kerajaan pada 1986.

Tiada ulasan: