Selasa, 17 Oktober 2017

9 warga asing dalang pasport palsu ditahan

MALAYSIA GAZETTE
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar dalam serbuan sebuah pangsapuri di Jelutong kira-kira pukul 9.30 malam yang dipercayai menjadi pusat operasi sindiket terbabit. 
 

PULAU PINANG – Seramai sembilan warga asing yang dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan pasport di tahan dalam operasi Jabatan Imigresen negeri di sini malam tadi.

Turut ditahan ialah seorang warga Bangladesh yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen berkenaan dengan bekerja sebagai ejen atau orang tengah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam operasi itu, pihaknya menyerbu sebuah pangsapuri di Jelutong kira-kira pukul 9.30 malam yang dipercayai menjadi pusat operasi sindiket terbabit.

Katanya, serbuan itu berjaya menahan enam lelaki warga Bangladesh, dua kanak-kanak dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara empat hingga hingga 47 tahun.

“Kegiatan pemalsuan pasport ini dipercayai sudah aktif cukup lama dan dalang utama yang ditangkap iaitu warga Bangladesh itu juga sudah menetap di negara ini lebih 20 tahun.

“Sehubungan itu kita akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan jika terdapat pihak lain yang turut terbabit dengan sindiket ini,” katanya.

Mustafar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dokumen termasuk 94 pasport palsu warganegara Bangladesh serta wang tunai RM15,000 dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(1) F Akta Pasport 1966.

“Kita juga tidak menolak terdapat majikan yang turut menggunakan orang tengah iaitu ejen bagi memudahkan proses mendapatkan dokumen pengenalan diri untuk pekerja asing mereka,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: