Jumaat, 20 Oktober 2017

36 saman pemandu bas dan lori memandu laju

ANTARAPOS

Post Pic
 
TAPAH: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengeluarkan 36 saman ke atas pemandu lori dan bas ekspres atas kesalahan memandu melebihi had laju di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) zon utara.
 
Pegawai Turus Lebuh Raya Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Hazil Reza Ghazali, berkata operasi bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu dijalankan jam 11 malam hingga 2 pagi, membabitkan kira-kira 30 pegawai dan anggota.
 
Katanya, pihaknya menempatkan pegawai dan anggota di zon utara membabitkan empat lokasi berasingan, iaitu di Sungai Dua, Pulau Pinang; Kuala Kangsar, Ipoh dan Tapah, Perak bagi mengesan kenderaan perdagangan memandu melebihi had laju.
 
"Polis mengeluarkan 36 saman membabitkan 22 pemandu lori dan 14 pemandu bas kerana memandu pada kelajuan antara 100 hingga 120 kilometer sejam (km/j)
 
"Daripada 36 jumlah itu, 16 daripadanya diambil tindakan oleh SPAD kepada pengendali lesen atau pengusaha syarikat kenderaan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya ketika ditemui di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, di sini awal pagi tadi.
 
Hazil Reza berkata, memandu melebihi had laju adalah kesalahan serius kerana boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya.
 
"Operasi ini sebagai peringatan pada pemandu supaya mematuhi had laju ditetapkan, iaitu 80 km/j bagi lori dan bas ialah 90km/j.
 
"Kesalahan melebihi had laju menjadi antara punca utama kemalangan di lebuh raya. Kita akan jalankan operasi dari semasa ke semasa bagi tujuan sama," katanya.
 
 

Tiada ulasan: