Sabtu, 21 Oktober 2017

3 mayat mangsa tanah runtuh di Tanjung Bungah dikeluarkan, 11 masih dicari

Wartawan MalaysiaGazette
Mayat mangsa tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang dibawa keluar dari tempat kejadian.
 

PULAU PINANG – Tiga mayat berjaya ditemukan setakat ini dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Tanjung Bungah di sini awal pagi tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Saadon Mokhtar, dua mayat ditemukan pukul 9.15 pagi dan 10.45 pagi tadi manakala mayat ketiga kira-kira pukul 1 petang tadi.

Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa merupakan antara 14 buruh binaan asing termasuk seorang warga tempatan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.

Ujar beliau, pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk menjalankan kerja-kerja mencari kerana mangsa tertimbus sedalam hampir 35 meter selain keadaan tanah yang berselut.

Sehubungan itu, tambahnya, pihaknya turut mendapatkan kerjasama unit anjing pengesan bagi membantu kerja-kerja menyelamat.

“Ketika kejadian mereka sedang bekerja di tapak aras bawah tanah dan disebabkan itu juga mereka tertimbus agak dalam.

“Selain itu, kita juga mengesan beberapa kawasan di tapak projek ini yang tidak selamat dan mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan segera,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi tadi, lebih 20 pekerja asing warga Bangladesh; Pakistan dan Indonesia sedang bekerja di tapak projek pembinaan rumah mampu milik setinggi kira-kira 50 tingkat sebelum tanah di lereng bukit belakang tapak projek berkenaan runtuh secara tiba-tiba.

Bagaimanapun seramai 14 pekerja berkenaan gagal menyelamatkan diri dan tertimbus sedalam kira-kira 35 meter. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: