Ahad, 24 September 2017

Wanita PH mahu lebih kerusi


 
Wanita PH mahu lebih kerusi


Wanita perlu diberikan lebih kerusi Dun atau Parlimen bagi memastikan golongan ini tidak terpinggir dalam menentukan corak pembangunan negara, kata Pengerusi Bersih 5 Maria Chin Abdullah.

“Perlunya suara wanita di dalam Dewan Rakyat hari ini kerana suara tersebut tidak sampai sepuluh peratus dan ini membuatkan wanita terpinggir jauh dari sebarang keputusan mahu pun perubahan yang dibuat oleh dewan tersebut.

“Penglibatan wanita dalam politik perlu digerakkan dan wanita perlu turut serta dalam politik di Malaysia. Sememangnya, wanita lebih teruk terjejas jika sebarang keputusan itu dibuat tanpa mendengar suara mereka contohnya macam kenaikkan harga barang, yang terjejas teruk adalah kaum wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Wanita Penentu Masa Depan Negara’ anjuran Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor di Parlimen Tebrau, kelmarin.

Pandangan itu disambut baik oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang turut menjadi ahli panel dalam forum yang hanya memfokuskan kepada wanita itu.

“Saya menyambut baik cadangan untuk meramaikan lagi ahli parlimen dari kalangan wanita dan perkara ini akan cuba dibawa ke dalam PH agar cadangan ini diterima pakai oleh PH untuk membariskan wanita-wanita yang berkaliber sebagai calon pada pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Selain itu perjuangan untuk memartabatkan wanita dalam politik akan digerakkan dengan memberi penerangan seterusnya agar pembabitan wanita tidak ketinggalan dalam arus politik semasa dan saya akan mencadangkan agar kouta kepada wanita diberi sebanyak tiga puluh peratus di dewan rakyat kelak,” katanya.

Program tersebut dihadiri lebih 500 orang dan turut membariskan Ahli Parlimen Kulai dari DAP Teo Nie Ching dan Aiman Athirah Al-Jundi dari AMANAH yang juga merupakan Ketua Biro Penerangan Wanita PH Nasional.

Tiada ulasan: