Sabtu, 23 September 2017

Siti Kassim berdepan lagi laporan polis...

LEA BAIDURI

 
 
LAGI laporan polis dibuat  terhadap peguam kontroversi, Siti Kassim yang sebelum ini didakwa menghina Nabi Ibrahim dan memutarbelitkan kefahaman mengenai peristiwa Qurban.
 
Kali ini, Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang (DMPNPP) diketuai oleh Naib Ketua, Fadzilah Ahmad telah membuat empat laporan polis serentak di dua tempat iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan Balai Polis Teluk Kumbar hari ini.
 
Laporan yang sama juga dibuat ke atas wakil rakyat pembangkang di Sabah, David Orok yang didakwa menyokong kenyataan Siti Kassim yang berbaur penghinaan terhadap Nabi Ibrahim AS dan terhadap Islam.
 
DMPNPP menggesa supaya satu siasatan berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang dilakukan ke atas kedua-dua individu tersebut, seterusnya diambil tindakan yang sah berteras undang-undang.
 
Kata Fadzilah,  laporan itu dibuat kerana status komen Siti Kassim dan David Orok  disifatkan satu dakyah menyeleweng dari fakta dan maksud.
 
Malah kata Fadzilah status komen dua aktivis Itu cuba mewajarkan keterangan secara bohong dan palsu dalam sirah Korban Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail.
 
Selain itu tambah beliau, status tersebut berunsur penghinaan yang melampau, menyinggung dan berbaur hasutan.
 
Malah katanya lagi kenyataan dua individu itu bagi DMPNPP diajukan secara biadab angkuh hingga boleh membangkitkan ketidakharmonian antara agama.
 
Tambahan pula kata beliau, status tersebut berpotensi membangkitkan rasa permusuhan antara agama dan mencetuskan hubungan tegang di mana ia merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
 
"Semua ini bererti dan boleh ditafsirkan sebagai menentang Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menentang serta mencabar Yang di-Pertuan Agong selaku penaung agama Islam bagi Malaysia.
 
"Ia juga bersifat ancaman dan gugatan ke atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara" dakwa beliau dalam laporan polis itu.
Hadir sama semasa membuat laporan polis itu adalah beberapa orang ahli jawatankuasa DMPNPP. – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: