Khamis, 21 September 2017

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sengaja dibakar - Bomba

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan terdapat dua buah silinder gas petroleum cecair (LPG) berwarna hijau berbelang merah dijumpai di hadapan pintu masuk bilik asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar hingga mengorbankan sebanyak 23 nyawa pada Khamis minggu lalu.
 
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kedua-dua silinder tersebut telah kosong dan injapnya dalam keadaan terbuka.
 
“Pada masa sama, Unit Pengesan (K9) telah mengesan tujuh tempat dan tujuh sampel telah diambil di hadapan pintu masuk bilik asrama tersebut.
 
“Dalam kes ini empat ekor anjing telah digunakan dan kesemuanya menunjukkan ke tempat yang sama. Sampel ini telah dianalisa oleh Pegawai Kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel tersebut mengandungi residu cecair mudah menyala jenis petrol,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
 
Memetik laporan Utusan Malaysia, Wan Mohd memberitahu lagi, kebakaran di pusat tahfiz tersebut dipercayai disebabkan oleh api yang dinyalakan menggunakan petrol yang telah dicurahkan pada rak kasut, tuala dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat tiga.
 
Katanya, kebakaran api marak dengan cepat disebabkan gas LPG yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder itu menyebabkan ianya merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama.
 
“Berdasarkan penemuan-penemuan tersebut, punca kebakaran adalah perbuatan sengaja dibakar,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: