Isnin, 25 September 2017

Pesta arak: Azmin ambil tindakan undang-undang terhadap Utusan

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia selepas akhbar itu menerusi laporannya menyatakan beliau meluluskan penganjuran Better Beer Festival 2017 di negeri ini.
 
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Pengarah Komunikasi Strategiknya, Yin Shao Loong, Azmin mencabar akhbar itu membuktikan bahawa beliau pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. 
 
"Kami mencabar Utusan Malaysia untuk mengemukakan bukti bahawa beliau berkata demikian.
 
"Menteri Besar menuntut penarikan balik tanpa syarat, permohonan maaf secara terbuka dan ganti rugi dari Utusan Malaysia," petik kenyataan itu.
 
Difahamkan Azmin kini dalam lawatan kerja ke India, dan sudah mengarahkan peguamnya mengeluarkan notis tuntutan undang-undang kepada akhbar harian berbahasa Melayu itu. 
 
Akhbar berkenaan pada muka depannya pada hari ini memaparkan tajuk utama "Azmin benar pesta arak".
 
Azmin semalam berkata meskipun kerajaan negeri menghormati hak kaum dan agama lain, penganjur pesta arak tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mahu mengadakan di negeri itu.
 
Azmin bagaimanapun berkata, dirinya tidak pasti sama ada penganjur ada membuat permohonan di peringkat majlis tempatan kerana ia tidak sampai di peringkat negeri.
 
 

Tiada ulasan: