Khamis, 14 September 2017

Perang psikologi Amanah gugat kesetiaan pengikut PAS

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Pertentangan utama dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dan entiti ketiga seperti PAS akan kalah teruk.
 
Presiden parti Amanah, Mohamad Sabu berkata, realiti ini akan berlaku terutamanya di negeri-negeri pantai barat seperti Johor, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka. 
 
"Selalunya rakyat memilih kumpulan mana yang dilihat boleh memerintah, sama ada mereka memilih PH atau tolak BN, yang tengah-tengah (PAS) jarang mendapat undi.
 
"Pengalaman kita (ketika bersama PAS) terutama di Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka kita bertanding dahulu bila cara berseorangan, kebanyakannya kita hilang pertaruhan. 
 
“Kita mula mendapat undi dan kemudiannya menang di beberapa tempat bila bersama DAP dan Keadilan (PKR).
 
"Oleh itu kalau PAS kembali bertanding berseorangan, dia hanya akan mendapat undi 'core' ahli dia sahaja dan saya rasa negeri-negeri yang saya sebut tadi, mereka akan alami kekalahan yang dahsyat pada PRU akan datang," katanya.
 
Mat Sabu sedang cuba lancer perang saraf pada PAS
 
Kenyataan Mat Sabu itu pastinya boleh dibaca sebagai satu provokasi politik. Mungkin Mat Sabu mahu “menggoda” pengundi supaya usah menaruh harapan tinggi pada PAS.

Atau mungkin juga bekas Timbalan Presiden PAS itu mahu “menakut-nakutkan” pemimpin dan penyokong PAS melalui ramalannya itu agar luruh keyakinan diri. 
 
Atau beliau mungkin mahu memindahkan perhatian pengundi pada kebarangkalian PAS kalah besar dan sekaligus “mengelak” mereka supaya kurang memerhatikan kelemahan dalam partinya, Amanah.
 
Namun bak menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri. Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki bingkas membuat ramalan bahawa Mohamad Sabu sendiri akan kalah buat kali keempat jika beliau bertanding dalam PRU14.
 
"Sejarah pertandingan Mat Sabu, sejak pilihan raya terakhir beliau tak menang, walaupun bertanding di kubu kuat PAS seperti di Pendang dan Kuala Terengganu.
 
"Walaupun beliau sebagai Presiden Amanah dan boleh bertanding di mana-mana tetapi peluang hendak menang itu tipis. 
 
"Terutama dalam konteks Amanah sekarang, sokongan terhadap parti itu amat rendah, sebagaimana disebut kajian IDE (Institut Darul Ehsan) baru-baru ini bahawa sokongan parti itu sekitar satu peratus sahaja," ujarnya.
  
Untuk rekod, Mat Sabu tewas dalam tiga pilihan raya umum terakhir -- 2013, 2008 dan 2004 di Pendang, Kuala Terengganu dan Kuala Kedah yang disifatkan antara kubu kuat PAS. 

Mat Sabu bagaimanapun pernah menang di kerusi Kuala Kedah dan Kubang Kerian, masing-masing pada pilihan raya umum pada 1999 dan 1995.
 
"Peluang Amanah menang dalam PRU14 amat tipis. Ia hanya cuba untuk kacau undi PAS," kata Zuhdi.
 
Ketika merasmikan Konvensyen Amanah Selangor awal bulan ini Mat Sabu menjangka PAS bakal kalah teruk dalam PRU14 terutama di negeri-negeri pantai barat kerana “PAS bukan lagi pilihan utama rakyat selepas tidak bersama Pakatan Harapan (PH)”.
 
Bagaimanapun sejurus selepas Mat Sabu membuat ramalan itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan, PAS bercadang bertanding lebih 100 kerusi Parlimen pada PRU14.
 
Katanya, PAS melalui Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga kini dalam proses mengenalpasti kawasan Parlimen yang akan ditandingi. Pada PRU13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan 236 Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
Malah di Selangor PAS mahu bertanding kerusi yang disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masing-masing di DUN Kajang dan Bukit Antarabangsa.
 
Amanah sejak penubuhannya melancarkan perang psikologi terhadap PAS sebagai strategi melemahkan parti leluhurnya dan mencari publisiti untuk mengimarahkan parti itu.
 
Bagaimanapun ramai pemimpin PAS menganggap taktik itu ibarat anak kecil yang “merengek untuk mencuri perhatian”. 
 
Amanah nampaknya bertindak demikian kerana insaf segmen pengundi yang disasarkannya adalah kelompok sama yang sekian lama menyokong PAS.
 
Reaksi PAS ialah tindakan Amanah yang dipimpin oleh beberapa bekas ahli PAS yang kecundang dalam pemilihan di muktamar 2015 itu adalah perbuatan khianat terhadap perjuangan mendaulatkan Islam dalam sistem politik negara.
 
Sama ada perang psikologi Amanah akan berhasil atau tidak dan PAS terus mampu memupuk keyakinan ahli-ahlinya supaya tidak terkesima dengan taktik Amanah, senario itu tetap meracik kekuatan agregat pengundi Melayu-Islam. 
 
Di sisi lain Umno, PKR dan PPBM juga berusaha keras untuk “memikat” pengundi Melayu-Islam menyokong mereka. Undi Melayu adalah kira-kira 60 peratus daripada total pengundi berdaftar kini “pecah” lima tetapi undi bukan Melayu nampaknya tertumpu pada DAP. 


Tiada ulasan: