Jumaat, 22 September 2017

PAS parti paling kuat jika mampu atasi masalah persepsi - Kadir

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS boleh menjadi parti yang kuat malah mampu mengatasi Umno jika dapat mengatasi masalah persepsi rakyat terhadapnya, kata Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
 
Justeru katanya, rugi jika PAS dibiarkan bersendirian dan tidak dimanfaatkan untuk memberi kebaikan kepada rakyat serta negara.
 
"Mereka ada masalah persepsi, bagaimana nak perbetulkan persepsi bahawa PAS bukan satu parti sebagaimana yang dijangkakan iaitu parti eksteremis.
 
"Rugilah kalau kita tak gunakan parti yang begitu besar ini untuk buat kebaikan kepada negara," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos baru-baru ini.
 
Ujar Kadir, PAS sering dilihat sebagai parti yang konservatif dan ekstrem dalam isu-isu melibatkan agama. Tanggapan seperti itu amat ditakuti rakyat serta pengundi pelbagai latar belakang di negara ini.
 
"Alhamdulillah IKATAN sertai (pakatan) dengan PAS. Kalau hendak dibandingkan dengan PAS, kami baru dua tahun umurnya.
 
"Tapi saya rasa kalau parti macam kami yang terdiri daripada latar belakang akademik dari Barat, boleh terima PAS maknanya PAS bukan parti eksterimis," katanya.
 
Bukan sahaja Kadir, sudah semakin ramai dikalangan pemerhati politik serta cendekiawan mengakui PAS sudah melalui transformasi dan lebih rasional berdepan dengan isu-isu semasa.
 
IKATAN dan PAS mula menjalinkan kerjasama politik pada 16 Ogos 2016 selepas parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP sekali gus menyaksikan terkuburnya Pakatan Rakyat (PR).
 
Kadir dalam pada itu menafikan IKATAN memperalatkan PAS sebagai batu loncatan untuk bergerak serta meraih sokongan rakyat terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
 
"Kami bukan parti yang dilahirkan untuk berbincang dan berebut kerusi bagi pilihan raya akan datang.
 
"Saya sendiri dah isytihar bahawa saya tidak ada niat mahu bertanding (pada PRU14).
 
"Mungkin orang-orang saya (dalam IKATAN) yang berkelulusan tinggi, mungkin akan bertanding," katanya

Tiada ulasan: