Rabu, 20 September 2017

Kanak-kanak dua tahun di Kuantan maut disengat tebuan

Kohilah Sekaran, Astro Awani
Kanak-kanak dua tahun di Kuantan maut disengat tebuan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas disengat tebuan ketika bermain di luar kawasan rumahnya. -Gambar hiasan
 
 
KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas disengat tebuan ketika bermain di luar kawasan rumahnya di Kuantan.

Khaleef Eusoff sedang bermain di luar rumahnya kira-kira jam 5 petang sebelum menghampiri kawasan sarang tebuan yang terletak lebih kurang 10 meter dari kawasan rumahnya.

Memetik laporan portal Harian Metro, bapa mangsa Raafiee Abdul Rahim, 39 tahun, berkata Khaleef ketika itu bermain berhampirannya yang sedang berkebun di luar rumah.

Dia hanya menyedari kejadian tersebut selepas Khaleef mula menjerit dan menangis apabila badannya dikerumuni serangga berbisa itu

"Saya segera menarik dan membersihkan badannya sebelum kami membawanya ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.



"Saya dan isteri kemudian membawa dia ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana hospital itu mempunyai kemudahan yang lengkap untuk merawat Khaleef," katanya lagi. 


Namun Khaleef gagal diselamatkan kerana kandungan toksin yang tinggi dalam darahnya.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sekitar jam 8 pagi semalam.

 Jenazah Khaleef selamat dikebumikan pada jam 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang.

Pihaknya juga telah memaklumkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk melakukan kerja pembersihan dan memusnahkan kawasan sarang tebuan itu.


Tiada ulasan: