Isnin, 25 September 2017

HARAPAN lakar cabaran getir di Sabah, Sarawak

AKHBAR RAKYAT

 
Pakatan Harapan (HARAPAN) mengumumkan rangka manifesto mereka khusus untuk Sarawak di Kuching malam tadi namun bukan itu yang menjadi tarikan utama kepada kira-kira 10,000 orang yang memenuhi majlis berkenaan.

Sebaliknya tokoh-tokoh kanan pembangkang yang menjadi perhatian lebih besar untuk penduduk bandar raya itu.

Dua bekas musuh ketat - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang - misalnya mendapat sambutan paling hangat daripada orang ramai apabila mereka muncul bersama-sama mengajak orang ramai mengalahkan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Isi ceramah disampaikan tokoh terbabit tidak banyak bezanya daripada apa yang pernah mereka ucapkan di Semenanjung Malaysia, kecuali pengumuman mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak dalam persekutuan.

Turut ditekankan Dr Mahathir dan Lim ialah seruan kepada pengundi tempatan supaya mengukuhkan sokongan mereka kepada HARAPAN bagi membolehkan pembangkang menguasai dua pertiga kerusi parlimen.
 
 "Kita perlu menang sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen dari Sabah dan Sarawak. Boleh tak?" kata Lim dalam ucapan penuh bersemangatnya.

Pemimpin kanan DAP itu juga menjelaskan jika rakyat mahu menstruktur semula kerajaan Malaysia HARAPAN memerlukan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Malam ini Kuching dan Sarawak menjadi kunci kepada perubahan itu, boleh atau tidak?" katanya lagi.

Kata Lim Datuk Seri Najib Razak memperlekehkan HARAPAN dengan mendakwa setiap parti mempunyai "mimpi" yang berlainan walaupun berkongsi "katil" yang sama.

"Dia salah. Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, Mat Sabu - kita semua mempunyai mimpi yang sama, iaitu menjatuhkan Najib, menyingkirkan Umno dan menolak BN," katanya.

 
Secara keseluruhan Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi parlimen dan daripada jumlah itu 46 kini diwakili parti komponen BN.
 
 Berdasarkan sasaran untuk menguasai 40 kerusi itu bermakna HARAPAN perlu menawan lebih 70 peratus daripada keseluruhan kerusi di kedua-dua negeri terbabit.

Apabila tiba giliran Dr Mahathir - yang diletakkan sebagai penceramah terakhir - pengerusi HARAPAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu juga menekankan mesej sama.

"Dalam PRU akan datang anda semua mesti memberi sokongan penuh kepada HARAPAN kerana tanpa majoriti dua pertiga anda tidak boleh mengubah perlembagaan.

"Kita perlu mengubah sebahagian peruntukan dalam perlembagaan persekutuan supaya ia lebih adil untuk semua wilayah dalam Malaysia - Sabah, Sarawak dan semenanjung," katanya.

Ketepi ego masing-masing

Demi membuktikan kesungguhan itu kata Dr Mahathir beliau meninggalkan Umno walaupun pernah menjadi presiden kepada parti itu untuk bersama-sama Lim.

Katanya tokoh yang ada bersama beliau malam tadi pernah menjadi musuh politiknya sebelum ini namun sanggup bersama-sama untuk menyingkirkan BN.

Cubaan pembangkang untuk bergantung kepada kerusi Sabah dan Sarawak untuk menawah Putrajaya bukan sesuatu yang baru. 
 
Namun langkah HARAPAN di semenanjung sendiri meningkatkan lagi cabaran yang perlu didepani mereka.
 Ketika HARAPAN menyasarkan 40 kerusi dari dua negeri itu PAS pula membayangkan kesediaan mereka meletakkan calon di 100 kerusi parlimen seluruh negara walaupun parti itu hanya yakin memenangi 40 daripadanya.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Hatta Ramli pula mengakui kegagalan pembangkang mencatat kejayaan diharapkan di Sabah dan Sarawak.

"Dalam pilihan raya negeri yang lalu ramai orang tak puas hati, kita tidak mencapai kejayaan baik pada 2011.

"Sebab apa? Sebab kita tidak nampak bersatu padu. Tapi anda semua tidak boleh nafikan parti-parti pembangkang kini bersatu padu dengan HARAPAN.\

"Kita semua sanggup mengetepikan ego masing-masing," katanya.

Tiada ulasan: