Jumaat, 22 September 2017

BELI ATAU PAJAK...BERAPA LAMA LAGI CEO MAS INI BOLEH KEKAL ATAU NASIBNYA JUGA AKAN JADI SEPERTI NOR MOHAMED YAKCOP?

 shahbudindotcom


Ketika bertemu Presiden Amerika, Donald Trump baru-baru ini, antara perkataan yang dilafazkan Najib Razak mengenai pembelian kapalterbang untuk MAS adalah seperti berikut:-

"Kami mahu membantu memperkukuh ekonomi AS. Saya datang dengan tiga cadangan khusus. 

"Pertama, kami mahu mempertingkat pembelian Boeing oleh MAS.

"Kami bersedia untuk 25 pesawat 737 MAX 10 dan lapan 787 Dreamliners. Dan terdapat kebarangkalian kukuh, bukan kemungkinan, kebarangkalian kami akan tambah 24 lagi pesawat 737 MAX 10 pada masa hadapan.

"Jadi, dalam tempoh lima tahun, rundingan ini akan bernilai lebih AS$10 bilion. 

"Itu yang pertama, kami juga akan cuba memujuk AirAsia untuk membeli enjin GE."

Tentunya tidak sukar untuk sesiapa pun memahami kata-kata Najib itu. Ia dengan jelas menyebut tentang pembelian kapalterbang Boeing oleh MAS, bahkan sekembalinya dari Amerika pun beliau mengulanginya dengan mengatakan pembelian pesawat itu untuk menjadikan MAS mampu terus bersaing dan membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Tapi, apa pula kata CEO MAS, Peter Bellew ini.

Beliau dilaporkan berkata, MAS tidak akan membeli atau membiayai pembelian pesawat itu, sebaliknya syarikat pemajak antarabangsa yang akan membelinya dan kemudian memajaknya kepada MAS.

Kata beliau, amalan memajak pesawat adalah perkara lumrah dalam industri penerbangan moden sekarang ini.

Bellew juga dipetik sebagai berkata, pembelian yang diumumkan Najib itu berkebetulan dengan berakhirnya perjanjian pajakan MAS.

Jadi, mana satu yang betul - beli atau pajak?

Antara kata-kata Najib dengan Bellew yang menguruskan MAS, siapakah yang lebih dipercayai?

Jika selama ini MAS hanya memajak pesawat, pembelian yang diumumkan Najib itu untuk siapa?

Apakah, tanpa kita ketahui, Najib mungkin membeli pesawat Boeing tersebut bagi pihak syarikat pemajak antarabangsa yang kemudiannya syarikat tersebut akan memajaknya kepada MAS?

Siapa pemilik syarikat pemajak antarabangsa tersebut?

Jika Najib membelinya bagi pihak syarikat pemajak antarabangsa, apa pula perjanjiannya?

Adakah sesiapa yang akan mendapat komisyen daripada pembelian yang diumumkan Najib itu?

Soalan akhir, berapa lama lagi agaknya Bellew akan kekal berkhidmat dengan MAS dan adakah beliau bakal menerima nasib seperti Nor Mohamed Yakcop yang baru-baru ini secara tiba-tiba meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah berikutan keterangannya yang dilihat tidak menggembirakan Najib kepada RCI forex?


Tiada ulasan: