Khamis, 10 Ogos 2017

Zaid kemuka gambar majlis hari jadi Najib dalam usaha singkir Raus dengar kes

 
Ia antara kandungan afidavit dikemukakan bekas menteri itu yang mencabar keputusan ketua hakim negara tidak menarik diri daripada kes melibatkan peguam negara.


zaid-raus

 
PUTRAJAYA: Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyertakan gambar Datuk Seri Najib Razak dalam sebuah majlis keramaian bersama Tan Sri Raus Sharif dalam memfailkan permohonan mencabar keputusan ketua hakim negara untuk tidak menarik diri daripada permohonan kes menyemak semula kuasa peguam negara.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan silap dalam mengabaikan permohonannya untuk menyingkirkan Raus.

Beliau berkata terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan kerana Raus mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri dan peguam negara menolak untuk mendakwa Najib atas kesalahan jenayah.

Zaid berkata, walaupun permohonan kebenaran untuk kajian semula kehakiman ditujukan terhadap peguam negara, sasaran utama permohonan ialah Najib.

Menurutnya, perdana menteri ialah seorang suspek dalam penyiasatan mengenai sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya di AmIslamic.

“Suspek (Najib) yang mencadangkan pelantikan ketua hakim ini untuk jawatannya. Malahan, terdapat hubungan peribadi yang rapat antara suspek dan ketua hakim.

“Ini dibuktikan dengan kejadian di mana ketua hakim menghadiri upacara keagamaan anjuran suspek pada hari lahir suspek. Tiada ahli lain Mahkamah Persekutuan hadir majlis itu,” katanya dalam afidavit menyokong permohonannya.

Semalam, bekas ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairudin Abu Hassan memfailkan permohonan yang sama.

Dalam menamakan peguam negara sebagai responden permohonan itu di bawah Akta Mahkamah Persekutuan 1995, Zaid berkata, beliau mahukan keputusan 28 Julai menolak rayuannya diketepikan.

Zaid juga mahukan panel hakim baharu dibentuk untuk membicarakan semula permohonan kebenaran itu.

Raus yang duduk bersama-sama Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Azahar Mohamed sebulat suara menolak permohonan Zaid, Khairuddin dan Majlis Peguam.

Zaid berkata sebelum permulaan prosiding mahkamah pada 28 Julai, peguamnya menyampaikan sebab kepada pendaftar mahkamah untuk menyingkirkan Raus daripada mengetuai panel.

“Bagaimanapun, ketua hakim memutuskan untuk tidak menarik dirinya kerana beliau akan memutuskan kes itu menurut undnag-undang dan fakta,” katanya.

Kes itu bertujuan mencabar keputusan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali menutup siasatan melibatkan wang RM2.6 bilion di dalam akaun bank Najib.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi berkata mahkamah bukan tempat untuk mendapatkan tebus rugi bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan peguam negara tidak mendakwa mana-mana kes jenayah.

Tiada ulasan: