Ahad, 6 Ogos 2017

Tabung Haji selesai masalah visa 178 bakal jemaah haji

MALAYSIA GAZETTTE

Datuk Seri Johan Abdullah
KUALA LUMPUR – Seramai 178 daripada 229 bakal jemaah haji yang menghadapi kesulitan penerbangan ke Tanah Suci akibat kelewatan visa selamat berlepas ke Makkah, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Johan Abdullah.
 Beliau berkata TH sedang giat berusaha menyelesaikan masalah serupa yang dihadapi baki 51 bakal jemaah haji dan yakin ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“TH sentiasa berhubung rapat dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Fahad Abdullah Al-Rashid bagi mencari langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah ini.

“Wakil kedutaan telah memaklumkan usaha-usaha yang telah diambil oleh pihaknya seperti penambahan kakitangan untuk mempercepatkan proses pengurusan visa,” katanya pada sidang media berhubung status terkini masalah kelewatan visa bakal jemaah haji musim 1438 Hijrah/Tahun 2017 di Kompleks TH hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan kira-kira satu peratus jemaah haji lewat berangkat ke Tanah Suci kerana menghadapi masalah visa berikutan permohonan visa haji yang terlalu tinggi dari seluruh dunia.

Johan berkata pertambahan kuota jemaah haji negara seramai 30,200 pada kali ini berbanding 22,000 sebelumnya dikatakan antara punca berlakunya masalah kelewatan pengeluaran visa.

Katanya jemaah haji yang lewat mendapat visa akan disediakan tempat penginapan dan makanan di Kompleks Haji Kelana Jaya dengan kos berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh TH.

Mengenai perkembangan keberangkatan jemaah haji, beliau berkata 110 penerbangan disediakan bagi musim haji kali ini dan 47 penerbangan telah berlepas setakat hari ini.

Penerbangan terakhir dijadualkan berlepas pada 26 Ogos.

“TH telah meningkatkan kapasiti pesawat iaitu daripada muatan 278 penumpang (pesawat Boeing 777) kepada 420 penumpang (pesawat Airbus 330) bagi membolehkan bakal jemaah haji berlepas ke Tanah Suci sebelum berakhirnya tempoh penerbangan,” katanya.

TH turut menyediakan bilik maklumat kepada bakal haji yang menghadapi masalah visa bagi menyalurkan maklumat terkini di Bilik Seri Setia , Tingkat 1, Kompleks TH yang beroperasi selama 24 jam atau boleh menghubungi talian khas. 03-78736297 atau 013-8068099.— BERNAMA

Tiada ulasan: