Sabtu, 12 Ogos 2017

SPRM akan sita lebih 10 juta tan bauksit di Pahang

 
Timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM berkata, penyitaan itu bagi menghalang bauksit dibawa keluar dari tempat penyimpanannya untuk tujuan perniagaan atau tujuan lain.


azam-bauksit

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyita keseluruhan simpanan stok bauksit di Pahang berjumlah lebih 10 juta tan metrik bagi membantu siasatan terhadap isu perlombongan bauksit haram.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, penyitaan itu dibuat bagi menghalang bahan tersebut daripada dibawa keluar dari tempat penyimpanannya untuk tujuan perniagaan atau tujuan lain.

“Tindakan penyitaan bauksit berkenaan meliputi seluruh simpanan stok yang berada di tanah kerajaan dan persendirian di kawasan yang dikenal pasti di negeri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penyitaan itu dilakukan mengikut Seksyen 33 Akta SPRM 2009 dan mana-mana pihak yang melanggar notis arahan penyitaan tersebut melakukan kesalahan di bawah akta tersebut dan boleh dihukum mengikut Seksyen 69 akta sama.

Sehingga kini, katanya, dianggarkan terdapat lebih 10 juta tan metrik bauksit yang dilombong serta disimpan di beberapa lokasi di Pahang.

Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM turut mengadakan perbincangan bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta mencadangkan kementerian itu mengkaji semula pengeluaran Permit Kelulusan (AP) kepada pengusaha lombong bauksit serta membatalkan semua AP yang dikeluarkan sebelum ini.

Tambahnya, SPRM juga akan memantau sebarang eksport bauksit di Pelabuhan Kuantan.

Tiada ulasan: