Khamis, 10 Ogos 2017

Sibuk kes forex 20 tahun lalu, tak hirau skandal Felda mencolok mata!

MALAYSIA DATELINE

FGV dan Felda yang bermasalah.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) amat kesal dan kecewa dengan pendirian kerajaan yang enggan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kehilangan berbilion ringgit wang Felda dan FGV.

Presidennya Mazlan Aliman menyifatkan keenganan kerajaan untuk nenubuhkan RCI sebagai usaha melindungi individu tertentu yang menjadi punca masalah Felda dan FGV.

Beliau mengulas jawapan bertulis timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim bahawa kerajaan melihat tiada keperluan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian Felda dan FGV.

Razali menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
"Di ketika berbagai skandal dalam Felda dan FGV terbongkar, kerugian besar FGV, rezab Felda yang sudah habis dan terkini tangkapan demi tangkapan dibuat SPRM atas dakwaan penyelewengan pembelian hotel di London dan Kuching; kerajaan memberi alasan tiada keperluan menubuhkan RCI?
"Anak tidak tahu sejauh mana susulan dibuat terhadap Laporan Jabatan Audit Negara mengenai Felda tahun lalu yang mendedahkan kerugian ratusan juta duit Felda.

"Begitu juga dakwaan penyelewengan pembelian ladang sawit di Samarahan seluas 20,000 hektar dengan nilai RM1.2 bilion," ujarnya.

Mazlan juga dimaklumkan bahawa 12 pelaburan FIC bernilai berbilion ringgit mempunyai elemen rasuah dan salah guna kuasa malah deretan projek dan pelaburan Felda dan FGV yang bermasalah, gagal dan terbengkalai.

"Adakah ia belum cukup bukti dan sangat mendesaknya RCI di tubuhkan, atau kerajaan mahu melindungi kegagalan mereka dalam menjaga kepentingan institusi rakyat seperti Felda, apatah lagi ia membabitkan pemimpin utama negara?" soal beliau.

Menurut Mazlan, umum mengetahui idea menubuhkan FGV diilhamkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibentangkan di Parlimen semasa Bajet 2011.

Idea ini, katanya disusuli perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda bagi memastikan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia berjaya disempurnakan pada 28 Jun 2012.

"Adakah kerajaan takut jika suruhanjaya ini ditubuh, maka terdedah segala penyelewengan dan kebobrokan yang mengaitkan Najib dan Isa?" soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pendirian Anak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk segera bagi kepentingan 112,635 orang peneroka di seluruh negara.

"Jika Kerajaan memperakukan penubuhan RCI mengenai skandal matawang/Forex yang dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih 20 tahun lalu, mengapa tidak isu Felda dan FGV yang sedang berlaku di depan mata?" tegas beliau.

Tiada ulasan: