Ahad, 6 Ogos 2017

Siasatan Kes FIC: Peguam, pembantu direman lima hari

Bernama

Mereka disyaki terbabit menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC

PUTRAJAYA: Seorang peguam dan pembantu wanita direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, sekitar 4 petang, semalam.

Sumber SPRM berkata, peguam berusia 44 tahun itu beroperasi di Kuala Lumpur manakala suspek wanita berusia 29 tahun merupakan pembantu perundangan firma undang-undang itu.

Mereka disyaki terbabit menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC, katanya.

Perintah reman bermula hari ini hingga 8 Ogos itu dikeluarkan Majistret Muhamad Safuan Azhar yang membenarkan permohonan SPRM untuk menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Muhamad Safuan memerintahkan reman bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC disambung selama empat hari bermula esok untuk membantu siasatan kes sama.

Terdahulu, di mahkamah sama tiga pengarah syarikat yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak pada 2014 dibebaskan hari ini dengan jaminan tunai RM20,000 dan jaminan SPRM RM200,000 setiap seorang.

Individu itu ialah pengarah syarikat yang juga pemilik hotel tersebut ditahan di pejabat SPRM Kuching pada 1.30 petang Sabtu lalu manakala dua lagi ditahan SPRM pada Ahad merupakan pengarah sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Tiada ulasan: