Sabtu, 12 Ogos 2017

Rafizi ikrar kumpul bukti kekayaan Najib untuk SPRM

rafizi-lagi

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli hari ini mengumumkan beliau akan mula mengumpul bukti kekayaan dan gaya hidup mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengumuman itu dibuat Rafizi sebagai menyambut kesungguhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu menyiasat penjawat awam yang hidup mewah melebihi pendapatan mereka.

“Sebagai menyambut kesediaan SPRM ini, saya akan mengumpulkan tenaga-tenaga sukarelawan dari kalangan professional dan anak muda untuk mula mengumpul bukti-bukti kekayaan penjawat awam utama di negara ini untuk dilaporkan kepada SPRM, agar siasatan boleh dibuat segera.

“Saya berhasrat untuk menyusun satu pasukan yang tanggungjawabnya menjejaki harta dan kemewahan penjawat-penjawat awam ini dan dilaporkan kepada SPRM dari semasa ke semasa.

“Saya sendiri akan mengambil tanggungjawab untuk mula mengumpul bukti-bukti kekayaan dan gaya hidup yang terlampau mewah yang dipamerkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga beliau.

“Ini lebih mudah kerana banyak siasatan telah dibuat berhubung dana 1MDB oleh pelbagai pihak berkuasa di dunia dan maklumat-maklumat ini boleh digunakan sebagai bukti bagaimana beliau dan keluarganya menjalani kehidupan yang terlampau mewah yang tidak padan dengan pendapatan beliau sebagai penjawat awam,” katanya dalam kenyataan.

SPRM semalam menerusi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Azam Baki berikrar untuk memburu penjawat awam yang hidup mewah melebihi pendapatan mereka.

Mengulas pengumuman tersebut, Rafizi berkata beliau menyambutnya dengan baik memandangkan sebelum ini SPRM hanya menyiasat kes rasuah melibatkan pertukaran wang dengan tindakan bercanggah dengan peraturan.

“Ini adalah satu perkembangan baik kerana selama ini, saya dimaklumkan berkali-kali oleh SPRM sendiri bahawa mereka tidak diberi kuasa untuk menyiasat kes-kes sebegini memandangkan Akta SPRM 2009 dengan secara jelas memberi takrifan jenis-jenis suapan yang boleh disiasat SPRM.

“Sebelum ini, saya dimaklumkan oleh SPRM hanya kes-kes melibatkan pertukaran wang ringgit/sogokan dengan keputusan atau tindakan yang bercanggah dengan peraturan yang boleh disiasat SPRM.

“Sebab itu saya dan rakan-rakan lain (baik di kalangan ahli parlimen dan NGO) telah bertahun-tahun berkempen supaya Akta SPRM itu dipinda untuk membolehkan badan itu menyiasat juga penjawat awam yang hidupnya kaya raya tidak berpadanan dengan pendapatan mereka,” katanya.

Dalam kenyataan sama Rafizi turut menyeru agar penjawat awam membuat perisytiharan harta secara tahunan.

“Saya juga menyeru SPRM supaya menyokong desakan agar semua penjawat awam mengisytiharkan harta mereka secara berkanun setiap tahun dan maklumat itu disiarkan kepada pengetahuan umum.

“Jika ini dimandatkan sebagai kehendak undang-undang, ia akan membolehkan mana-mana penjawat awam yang kehidupan mewah mereka dibiayai oleh wang rasuah dikenal pasti dengan segera untuk didakwa,” katanya.

Tiada ulasan: